SERDANG – Di sebalik kesedihan kehilangan ibu tercinta, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tampil membawa amanah terakhir keluarga dengan memohon orang ramai memaafkan segala kekhilafan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sepanjang hayatnya.
Mukhriz turut meminta individu yang mempunyai tuntutan hutang belum diselesaikan membabitkan Allahyarham supaya menghubungi pihak keluarga.
“Jika ada apa-apa kesilapan atau salah laku daripada pihak beliau, ampun dan maaf kami pinta,” katanya selepas solat jenazah di Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, hari ini.
Menurut Mukhriz, keluarganya akan berusaha sebaik mungkin untuk melunaskan sebarang tanggungan yang mungkin ditinggalkan Allahyarham.
“Sekiranya ada hutang piutang yang belum selesai, sila berurusan dengan kami pihak keluarga. Insya-Allah, kami akan menyelesaikannya sebaik mungkin,” katanya.
Lebih 2,000 jemaah membanjiri masjid berkenaan bagi menunaikan solat jenazah Allahyarham yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi.
Solat jenazah dilaksanakan sebanyak dua kali, masing-masing diimamkan Ustaz Muhammad Danial Hussan dan wakil keluarga, Ustaz Basyir.
Selesai solat kira-kira jam 5.15 petang, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya, untuk disemadikan menerusi Istiadat Pengebumian Negara bagi Tokoh Negara.
Suasana hiba menyelubungi masjid apabila ahli keluarga, pemimpin politik, kenalan serta orang ramai hadir memberikan penghormatan terakhir.
Antara yang hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Terdahulu, Anwar mengumumkan Allahyarham akan diberikan Istiadat Pengebumian Negara sebelum perkara itu disahkan menerusi kenyataan Jabatan Perdana Menteri.
Allahyarham Dr Siti Hasmah, 100, merupakan isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Pasangan itu dikurniakan tujuh anak termasuk Datin Paduka Marina, Tan Sri Mokhzani dan Mukhriz.
