SEREMBAN – Kimia yang sering dianggap penuh dengan formula dan istilah rumit diterjemahkan kepada pengalaman lebih dekat dengan kehidupan apabila 100 pelajar sekolah di Negeri Sembilan berpeluang menjadi ‘saintis muda’ menerusi STEM Camp MOSTI 2026.
Program sehari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban Jaya 2 itu menghimpunkan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 daripada 12 sekolah bagi meneroka bagaimana prinsip kimia sebenarnya wujud dalam kehidupan seharian, alam sekitar dan seni budaya.
Tidak hanya mendengar penerangan secara teori, peserta diberi peluang menjalankan sendiri eksperimen mudah dan selamat, membuat pemerhatian serta membandingkan hasil sebelum mengaitkannya dengan konsep sains yang dipelajari di sekolah.
Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah Chromatic Detectives – Reverse Separation Lab, Buih & Batu Kapur – Rahsia Hujan Asid, Plant Pigment as Indicators – Watch Metals Change Colors dan EcoBatik: Chemistry Meets Cultural Art.
Menerusi modul Buih & Batu Kapur – Rahsia Hujan Asid, misalnya, peserta dapat melihat sendiri tindak balas bahan berasid terhadap batu kapur sebelum menghubungkannya dengan kesan fenomena hujan asid terhadap alam sekitar.
Sementara itu, EcoBatik: Chemistry Meets Cultural Art membawa pendekatan berbeza apabila prinsip kimia digabungkan dengan penghasilan karya seni berasaskan batik, sekali gus memperlihatkan bagaimana sains boleh diteroka menerusi warisan budaya.
Program berkenaan dianjurkan Pusat Pengajian Kimia dan Alam Sekitar bersama Kelab Kimia (Al-Chemist), Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Kuala Pilah.
Ia dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kimia Malaysia, Pusat Penyelidikan dan Analisis Air (ALIR), Universiti Kebangsaan Malaysia serta Duopharma Manufacturing (Bangi) Sdn. Bhd., dengan tajaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Persatuan Sains Analisis Malaysia (ANALIS).
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI MOSTI, Nani Rahayu Sudin.
Turut hadir Ketua Unit Audit Dalam MOSTI, Maizatul Khairumie Mansorudin; Pengetua SMK Seremban Jaya 2, Mohamad Zaini Khalid; Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Ts. Dr. Aslizah Mohd Aris serta Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof. Madya Dr. Wan Syazehan Ruznan.
Pendekatan program itu memberi penekanan kepada penggunaan analogi dan situasi harian sebelum istilah saintifik diperkenalkan kepada peserta bagi memudahkan mereka memahami sesuatu konsep.
Peserta kemudian mengaplikasikan kefahaman berkenaan melalui eksperimen, merekod pemerhatian, mengemukakan soalan serta membincangkan keputusan bersama ahli kumpulan.
“Pendekatan ini diharapkan dapat membina keyakinan pelajar untuk memahami serta menggunakan bahasa sains, di samping menyemai rasa ingin tahu terhadap bidang kimia,” menurut kenyataan mengenai penganjuran program berkenaan.
Program itu turut mengetengahkan konsep pembelajaran rakan sebaya apabila ahli Kelab Kimia (Al-Chemist) UiTM bertindak sebagai fasilitator utama sepanjang aktiviti berlangsung.
Selain membantu peserta sekolah, penglibatan berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa UiTM mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan.
Kerjasama bersama Jabatan Kimia Malaysia, ALIR serta pihak industri pula memberi gambaran kepada peserta mengenai aplikasi sebenar bidang kimia di luar bilik darjah, termasuk hubungannya dengan pemeliharaan alam sekitar dan prospek kerjaya dalam bidang STEM.
Selain SMK Seremban Jaya 2 selaku tuan rumah, program itu turut disertai pelajar SMK Bukit Saujana, SMK Chan Wa II, SMK Dato’ Klana Putra, SMK Dato’ Sedia Raja, SMK Desa Cempaka, SMK Intan Perdana, SMK Jelai Felda, SMK Senawang, SMK Seremban Jaya, SMK Seri Pagi dan SMK Tunku Kurshiah.
Penganjuran STEM Camp MOSTI 2026 turut mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dengan memperluas pembelajaran STEM berasaskan pengalaman.
Pendedahan secara langsung itu diharap bukan sahaja meningkatkan minat terhadap sains, malah membantu melahirkan generasi muda yang lebih kritis, kreatif dan peka terhadap isu alam sekitar. – Prof. Madya ChM Dr. Nur Nadia Dzulkifli, Hasratul Nadiah Mohd Rashid
