Isnin | 28/09/2026 | 1:05:28 am
HomePolitikKemelut N9: Ismail, ADUN BN-PN berhimpun di Menara Dato’ Onn malam ini

Kemelut N9: Ismail, ADUN BN-PN berhimpun di Menara Dato’ Onn malam ini

KUALA LUMPUR – Usaha mencari jalan keluar daripada kemelut pentadbiran Negeri Sembilan memasuki fasa penting malam ini apabila Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim mengetuai kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membentuk kerajaan negeri ke Menara Dato’ Onn bagi bertemu Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pertemuan membabitkan 25 ADUN daripada BN, PAS dan Parti Wawasan Negara itu diadakan bagi menyelaras langkah serta meneliti beberapa pilihan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pentadbiran negeri ketika ini.

Ismail dilaporkan tiba di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn pada sebelah malam, disusuli beberapa wakil rakyat lain.

Antara yang hadir ialah ADUN Lenggeng, Asna Amin; ADUN Jeram Padang, Zaidy Abdul Kadir; ADUN Labu, Siti Nur Umaira Hasim; ADUN Linggi, Faizal Ramli; ADUN Chembong, Zaifulbahri Idris dan ADUN Johol, Saiful Yazan Sulaiman.

Turut berada dalam pertemuan itu ialah Ketua UMNO Negeri Sembilan merangkap ADUN Pertang, Jalaluddin Alias; Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang juga ADUN Serting, Fairuz Mohd Isa serta ADUN Sikamat, Razali Abu Samah daripada Parti Wawasan Negara.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata pertemuan itu bertujuan menyelaraskan usaha mencari penyelesaian terbaik dan bukannya untuk mencampuri urusan pentadbiran Negeri Sembilan.

“Saya mahu mengkoordinasi dan tidak berhajat untuk campur tangan, tetapi mahu mencari jalan terbaik,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, beberapa pilihan akan diteliti dengan mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, adat serta peraturan berkaitan, selain memastikan mandat 25 ADUN yang membentuk kerajaan diberikan perhatian.

Beliau turut memberikan mandat kepada Ismail untuk mencari penyelesaian di peringkat negeri termasuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta pihak berkaitan dalam hierarki adat negeri.

Kemelut pentadbiran negeri itu memuncak selepas pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dibatalkan berkuat kuasa 20 September lalu. Perkembangan berkenaan menyebabkan Ismail menjadi satu-satunya anggota pentadbiran kerajaan negeri yang masih memegang jawatan secara rasmi.

Sepuluh bekas Exco berkenaan ialah Faizal Ramli, Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Asna Amin, Razi Ali, Suhaimizan, Fairuz Mohd Isa dan Razali Abu Samah.

Pertemuan malam ini sekali gus menjadi tumpuan dalam menentukan langkah seterusnya bagi memastikan pentadbiran Negeri Sembilan dapat terus berfungsi ketika penyelesaian terhadap pertikaian berkenaan dicari mengikut kerangka undang-undang dan adat negeri. – MYBERITA

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITAhttps://portalmyberita.com/
Wartawan MYBERITA membawakan laporan berita semasa, nasional dan perkembangan terkini dari seluruh Malaysia dengan penyampaian yang pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Isnin, 28 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|