KUALA LUMPUR – Hampir tiga jam pintu bilik mesyuarat tertutup di Menara Dato’ Onn menjadi tumpuan malam tadi, namun persoalan mengenai hala tuju kemelut politik Negeri Sembilan masih belum terjawab apabila pertemuan khas membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berakhir tanpa sebarang pengumuman rasmi.
Mesyuarat yang bermula kira-kira jam 8 malam itu selesai sekitar jam 11 malam, dengan beberapa ADUN yang meninggalkan lokasi memilih untuk tidak memberikan sebarang kenyataan kepada petugas media.
Malah, ada antara wakil rakyat dipercayai menggunakan laluan lain ketika meninggalkan bangunan berkenaan selepas pemberita menunggu sejak awal malam bagi mendapatkan perkembangan hasil pertemuan itu.
Pertemuan berkenaan dipengerusikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut yang sedang melanda pentadbiran Negeri Sembilan.
Setakat tengah malam, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan kepimpinan BN mengenai keputusan atau langkah seterusnya yang dipersetujui dalam pertemuan berkenaan.
Terdahulu, Ahmad Zahid memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan bersama 25 ADUN daripada BN, PAS dan Parti Wawasan Negara bagi menyelaras usaha mencari penyelesaian di peringkat negeri.
“Ia untuk membolehkan saya mengkoordinasikan, bukan untuk campur tangan, tetapi untuk mencari jalan terbaik bagi penyelesaian kemelut yang sedang dihadapi di Negeri Sembilan,” katanya.
Ahmad Zahid turut menegaskan sebarang penyelesaian perlu mengambil kira Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, adat serta peraturan sedia ada, selain memastikan kepentingan rakyat terus diberikan keutamaan.
Beliau sebelum ini turut memberikan mandat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim untuk mencari penyelesaian terbaik, termasuk mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan dalam hierarki adat negeri.
Pertemuan malam tadi menjadi perhatian susulan perkembangan politik dan pentadbiran Negeri Sembilan yang berlarutan, sekali gus meletakkan hasil perbincangan 25 wakil rakyat berkenaan sebagai antara perkara yang dinantikan.
Namun selepas hampir tiga jam bermesyuarat, persoalan mengenai apakah keputusan yang dicapai dan langkah seterusnya bagi menyelesaikan kemelut itu masih terbuka. – MYBERITA
