Isnin | 28/09/2026 | 12:31:01 am
HomeNasional"Apa pun berlaku, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mesti diutamakan" - Jalaluddin

“Apa pun berlaku, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mesti diutamakan” – Jalaluddin

KUALA LUMPUR – Di sebalik kemelut yang masih membelenggu Negeri Sembilan, kelangsungan pentadbiran dan kepentingan rakyat menjadi antara perkara utama ditekankan dalam pertemuan membabitkan wakil rakyat negeri itu di Ibu Pejabat UMNO, malam tadi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim perlu terus berfungsi seperti biasa bagi memastikan urusan rakyat dan agenda pembangunan tidak terjejas.

Menurutnya, kemelut yang berlaku di negeri berkenaan turut menjadi antara perkara dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

“Memang ada perkara berkaitan dengan kemelut yang berlaku di Negeri Sembilan dibincangkan tadi.

“Intipati kepada perbincangan ialah kerajaan negeri Negeri Sembilan hendaklah berjalan seperti biasa untuk kesejahteraan dengan keutamaan demi kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat berkenaan.

Jalaluddin berkata, perbincangan yang berlangsung panjang itu diharapkan dapat menghasilkan pendekatan bagi memastikan pentadbiran negeri terus berfungsi tanpa menjejaskan kepentingan rakyat.

“Insya-Allah daripada perbincangan yang panjang lebar, akan ada satu pendekatan untuk kerajaan negeri berjalan seperti biasa demi kepentingan rakyat.

“Ini yang penting dan yang pertama harus kita lakukan sekarang,” katanya.

Beliau berkata, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk memastikan jentera pentadbiran negeri terus bergerak dalam situasi semasa.

Menurutnya, Ismail mempunyai formula tertentu bagi memastikan program kerajaan negeri, khususnya yang menyentuh kepentingan rakyat, dapat diteruskan.

“Menteri Besar mempunyai formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan negeri supaya agenda bagi memastikan program berkaitan kepentingan rakyat dapat diteruskan,” katanya.

Mengulas pertemuan itu, Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, ia disertai barisan EXCO dan wakil rakyat penyokong kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Wakil PAS dan Parti Wawasan Negara turut hadir, manakala Jalaluddin menjelaskan kehadirannya adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Terdahulu, beberapa ADUN Negeri Sembilan dilihat tiba secara berasingan di Ibu Pejabat UMNO seawal kira-kira jam 7.30 malam bagi menghadiri pertemuan berhubung perkembangan semasa di negeri itu.

Antara yang hadir ialah Ismail; ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan; serta ADUN Linggi, Datuk Faizal Ramli yang memegang portfolio Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

ADUN Sikamat, Datuk Razali Abu Samah yang juga Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan turut dilihat menghadiri pertemuan berkenaan.

Sebelum ini, Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pertemuan bersama 25 ADUN BN, PAS dan Wawasan akan diadakan bagi membincangkan pilihan dalam usaha mencari penyelesaian terhadap kemelut Negeri Sembilan.

Perkembangan politik dan pentadbiran Negeri Sembilan sebelum ini turut menyaksikan kerajaan negeri meneruskan urusan pentadbiran ketika berdepan ketidaktentuan politik, dengan kepentingan serta kebajikan rakyat ditekankan sebagai keutamaan. – MYBERITA

Wartawan MYBERITA
Wartawan MYBERITAhttps://portalmyberita.com/
Wartawan MYBERITA membawakan laporan berita semasa, nasional dan perkembangan terkini dari seluruh Malaysia dengan penyampaian yang pantas, tepat dan mudah difahami.
RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Isnin, 28 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|