KUALA LUMPUR – Pelawak dan personaliti seni, Shahrol Shiro tampil menjawab kritikan terhadap pelantikannya sebagai tenaga pengajar khusus CITRA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), termasuk persoalan mengenai kelayakan akademiknya serta dakwaan pelantikan itu mempunyai kaitan dengan ahli politik.
Mengakui dirinya ketika ini hanya memiliki diploma, Shahrol bagaimanapun berpandangan pengalaman individu dalam industri boleh digabungkan dengan kepakaran ahli akademik untuk memberi manfaat kepada mahasiswa.
“Saya sedar dan insaf, saya ni hanyalah pemegang diploma. Insya-Allah, doa-doakanlah semoga degree saya habis tahun ini.
“Tapi bagi saya, universiti membawa akademik, orang industri membawa pengalaman di lapangan. Apabila kedua-dua ini bertemu dan bersatu, insya-Allah akan membawa manfaat kepada adik-adik mahasiswa,” katanya.
Shahrol berkata demikian menerusi satu video yang dikongsikan di Instagram, sebentar tadi, selepas mendakwa ramai pengguna media sosial menandainya dalam hantaran berkaitan pelantikan berkenaan.
Dalam masa sama, beliau menafikan spekulasi yang mengaitkan pelantikannya dengan campur tangan atau pengaruh mana-mana ahli politik.
“Saya mohon kepada anda semua, hentikanlah spekulasi yang mengatakan lantikan saya ini daripada ahli politik. Tak ada kena-mengena langsung,” katanya.
Menjelaskan bagaimana pelantikan itu bermula, Shahrol berkata beliau pernah mengadakan pertemuan dengan seorang profesor di UKM pada tahun lalu dan perbincangan berkenaan menyentuh pelbagai kursus CITRA yang ditawarkan kepada mahasiswa.
Menurutnya, ketika pertemuan tersebut, beliau mencadangkan supaya seni komedi turut diperkenalkan di bawah bidang seni lakon.
“Apa kata kita wujudkan CITRA seni komedi. Antara universiti yang terawal mendukung seni komedi ini adalah UKM,” katanya.
Shahrol berkata UKM mempunyai sejarah tersendiri dalam perkembangan seni komedi apabila rakaman program komedi popular suatu ketika dahulu pernah dilakukan di Panggung Eksperimen UKM yang kini dikenali sebagai Panggung Seni UKM.
Beliau turut berpandangan seni komedi boleh menjadi medium berkesan untuk menyampaikan mesej, khususnya kepada generasi muda yang banyak terdedah kepada kandungan pantas di media sosial.
Katanya, selepas pertemuan berkenaan, beliau bersama beberapa pelawak tempatan dijemput bagi memeriahkan program CITRA UKM selain diberi peluang mengadakan persembahan stand-up komedi.
Sambutan terhadap persembahan tersebut disifatkannya sebagai sangat menggalakkan sebelum beliau kemudiannya ditawarkan menjadi salah seorang tenaga pengajar khusus CITRA UKM.
“Alhamdulillah, sambutannya sangat luar biasa. Dan ini yang terjadi hari ini, mereka menawarkan saya sebagai salah seorang tenaga pengajar khusus CITRA UKM.
“Itulah ceritanya,” katanya.
Shahrol berharap penjelasan berkenaan dapat menghentikan spekulasi mengenai latar belakang pelantikannya, selain menegaskan gabungan ilmu akademik dan pengalaman sebenar penggiat industri berpotensi memberi nilai tambah kepada mahasiswa. – Instagram Shahrol
