Rabu | 30/09/2026 | 5:06:07 pm
HomeNegeriKrisis Negeri SembilanJangan lihat separuh cerita, kemelut Negeri Sembilan bermula sejak pentadbiran terdahulu

Jangan lihat separuh cerita, kemelut Negeri Sembilan bermula sejak pentadbiran terdahulu

SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan tampil membalas kenyataan KEADILAN negeri dengan mendakwa kemelut institusi dan pentadbiran yang berlaku ketika ini tidak boleh dilihat hanya berdasarkan perkembangan semasa, sebaliknya perlu ditelusuri sejak pertikaian yang tercetus ketika pentadbiran terdahulu.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah peristiwa 17 April lalu membabitkan kedudukan Undang Luak Sungei Ujong serta persoalan mengenai Minit Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada tarikh berkenaan.

Menurutnya, kedudukan Undang Luak Sungei Ujong ketika itu dikatakan telah diputuskan secara kolektif melalui DKU, namun perkara tersebut kemudiannya dipertikaikan pihak yang hadir termasuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

“Persoalan mengenai Minit Mesyuarat DKU 17 April 2026 kekal fundamental. Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, UMNO berpandangan penjelasan lebih awal berhubung rekod berkenaan mungkin dapat mengelakkan sebahagian kekeliruan serta pertikaian institusi yang menyusul.

Muhammad Sufian turut mendakwa pertikaian berkenaan menjadi antara faktor yang menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, pendirian tersebut bukan bermaksud UMNO menolak konsep Kerajaan Perpaduan, sebaliknya berkaitan cara krisis institusi dan pentadbiran negeri dikendalikan ketika itu.

“Jangan sampai berlaku keadaan baling batu sembunyi tangan, sedangkan pentadbiran hari ini sedang berhadapan dengan pertikaian yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu,” katanya.

Beliau berkata, selepas penyelesaian politik tidak dicapai, Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sebelum pilihan raya diadakan dan sebuah kerajaan baharu dibentuk berdasarkan keputusan pengundi.

Keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan 2026 menunjukkan Muhammad Sufian sendiri memenangi kerusi Seri Menanti atas tiket BN, manakala Ismail Lasim memenangi kerusi Juasseh.

Sehubungan itu, Muhammad Sufian berkata mandat yang diberikan menerusi pilihan raya perlu dihormati dan kerajaan negeri semasa harus diberi ruang untuk menangani kemelut berkenaan mengikut lunas perlembagaan serta proses yang sah.

Kenyataan UMNO itu menyusul pendirian KEADILAN Negeri Sembilan yang hari ini menggesa kemelut institusi dan pentadbiran negeri diselesaikan segera kerana bimbang ketidaktentuan berpanjangan boleh menjejaskan urusan kerajaan, ekonomi dan kepentingan rakyat.

Pengerusi MPN KEADILAN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ketidaktentuan mengenai kedudukan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berpotensi melambatkan urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan serta pindah milik tanah.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim semalam menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, Seremban ketika kemelut pentadbiran negeri terus menjadi perhatian.

Muhammad Sufian berkata kerajaan negeri kini memikul tanggungjawab menyelesaikan pertikaian itu dengan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih, keputusan mahkamah serta bidang kuasa institusi berkaitan.

Beliau turut menyeru semua pihak menjaga bahasa dan tindakan serta tidak mendahului proses yang sedang berjalan. – UMNO Negeri Sembilan

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Rabu, 30 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|