Selasa | 29/09/2026 | 10:12:15 pm
HomeJenayahKPWKM seru pelajar berani berkata tidak, tampil jika diganggu seksual

KPWKM seru pelajar berani berkata tidak, tampil jika diganggu seksual

BUTTERWORTH – Pelajar diseru supaya mengenali batas diri dan berani berkata tidak sekiranya berdepan gangguan seksual atau keganasan, selain tampil mendapatkan bantuan melalui saluran yang disediakan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, keberanian untuk bersuara penting bagi memastikan sekolah terus menjadi persekitaran yang selamat kepada kanak-kanak dan remaja.

Katanya, rakan-rakan serta ahli keluarga turut memainkan peranan dengan memberikan sokongan sekiranya menyedari perubahan tingkah laku atau keadaan mencurigakan dalam kalangan individu terdekat.

“Kalau mereka rasa mereka tidak boleh terima, mereka mesti berani berkata tidak. Kita juga mahu beritahu apabila seseorang menghadapi gangguan seksual atau keganasan, bagaimana mereka boleh mendapatkan bantuan.

“Ini bukan satu kes atau keadaan yang memalukan dan mereka mesti berani tampil serta mencari saluran bantuan,” kata Lim.

Beliau berkata, isu buli, gangguan seksual dan keganasan tidak boleh ditangani oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan pendekatan merentas kementerian meliputi aspek advokasi, pencegahan, kesedaran dan kaunseling.

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mempunyai kaunselor profesional yang boleh membantu pihak sekolah sekiranya diperlukan.

Dalam perkembangan sama, Lim memaklumkan sebanyak 142 aduan telah difailkan di Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) sehingga 20 September lalu, dengan 97 daripadanya berjaya diselesaikan.

Beliau berkata, TAGS yang diwujudkan di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) menyediakan saluran alternatif kepada individu yang mengalami gangguan seksual untuk mendapatkan penyelesaian dengan lebih mudah, cepat dan pada kos berpatutan.

Sementara itu, Lim berkata peningkatan jumlah laporan gangguan seksual kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu dilihat bukan sahaja dari sudut jumlah kes, tetapi juga sebagai petunjuk bahawa semakin ramai berani tampil mendapatkan bantuan.

Berdasarkan statistik PDRM, sebanyak 477 kes gangguan seksual direkodkan pada 2022 sebelum meningkat kepada 522 kes pada 2023, 788 kes pada 2024 dan 1,038 kes pada 2025.

Sehingga 31 Mei tahun ini, sebanyak 388 kes pula dilaporkan di seluruh negara, termasuk 29 kes di Pulau Pinang.

– Astro AWANI

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Selasa, 29 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|