SEREMBAN – Siasatan kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di Kuala Pilah kini melibatkan dua suspek selepas polis menahan seorang lagi pelajar lelaki berusia 16 tahun.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek kedua yang juga pelajar di sekolah sama dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah semalam bagi permohonan reman selama enam hari, sehingga 3 Oktober.
Menurutnya, polis sudah merakam keterangan 68 saksi dan beberapa lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan. Satu pasukan khas turut ditubuhkan untuk menyiasat punca sebenar kejadian, termasuk kemungkinan berlaku insiden buli.
“Keputusan bedah siasat masih belum dapat ditentukan punca kematian mangsa dan polis sedang menunggu keputusan sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Alzafny berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas solat Maghrib Jumaat lalu, ketika pelajar sepatutnya mengikuti sesi ulang kaji di asrama.
Mangsa dikatakan dipanggil ke sebuah bilik di tingkat dua Blok A sebelum dipukul menggunakan getah paip pada tapak kaki beberapa kali. Mangsa turut dipukul di beberapa bahagian badan.
“Apabila keadaan mangsa kritikal, warden asrama dihubungi dan mangsa dibawa ke hospital. Doktor kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya.
Bagaimanapun, polis belum dapat memastikan sama ada mangsa meninggal dunia di asrama atau ketika dalam perjalanan ke hospital.
Beliau berkata beberapa pelajar lain turut tampil mendakwa pernah dibuli oleh suspek pertama yang ditahan. Dakwaan itu masih dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mangsa berusia 14 tahun sebelum ini dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah dan disahkan meninggal dunia.
