Selasa | 29/09/2026 | 10:55:59 pm
HomeNasionalHairul Amir sah bergelar Senator, wakili Perak hingga 2029

Hairul Amir sah bergelar Senator, wakili Perak hingga 2029

KUALA LUMPUR – Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara baharu bagi mewakili negeri itu untuk tempoh tiga tahun, hingga 9 September 2029.

Mohamad Hairul Amir, 38, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, dalam upacara di Dewan Negara, Bangunan Parlimen, di sini, hari ini. Tempoh pelantikannya berkuat kuasa mulai 10 September lalu.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Khas di Pejabat Ahli Parlimen Tambun menggantikan Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, yang tamat tempoh pelantikan sebagai Senator pada 24 Mei lalu.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bersetuju memilih Mohamad Hairul Amir pada 10 September selepas usul pencalonannya dikemukakan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, mengikut Perkara 45(1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Pemilihan itu dibuat susulan kekosongan kerusi Dewan Negara bagi wakil yang dipilih DUN Perak.

Dalam ucapan pemasyhuran pelantikan itu, Awang Bemee berkata pengalaman Mohamad Hairul Amir dalam kepimpinan politik, pentadbiran awam, hubungan kerajaan, pembangunan masyarakat dan tadbir urus korporat dijangka memberi nilai tambah kepada Dewan Negara.

“Penglibatan Yang Berhormat dalam badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta sebagai Ahli Jawatankuasa Audit Bebas dan Ahli Lembaga Pengarah badan eksekutif syarikat swasta, turut memperluas pengalaman dalam bidang tadbir urus, pengurusan, akauntabiliti dan integriti,” katanya.

Beliau berkata Dewan Negara berharap pengalaman itu dapat dimanfaatkan secara konstruktif dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Senator yang datang daripada pelbagai latar belakang dan pendirian politik.

“Walaupun kita boleh berbeza pandangan, perbezaan itu hendaklah disampaikan dengan penuh hikmah, berhemah dan saling menghormati,” katanya.

Awang Bemee turut berkata Dewan Negara akan terus memperkukuh institusi Parlimen, termasuk melalui pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang antara lain bertujuan memperteguh pengasingan kuasa serta fungsi semak dan imbang.

“Kita mahu Dewan Negara menjadi institusi yang membawa suara rakyat dan negeri, meneliti dasar serta perundangan negara dan pada masa sama memperkukuh prinsip semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen,” katanya.

Menurut takwim Parlimen, Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15 akan berlangsung dari 30 November hingga 22 Disember ini.

– Sinar Harian

RELATED ARTICLES
- Iklan -

Most Popular

Selasa, 29 September 2026 | --:--:-- pagi
CARI DI MYBERITA
|