SEPANG – Penduduk sekitar Sepang mungkin melihat pesawat terbang lebih rendah daripada kebiasaan mulai hari ini hingga Ahad, namun orang ramai diminta tidak panik kerana ia sebahagian daripada persiapan menjelang Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan operasi penerbangan rendah itu dijadualkan berlangsung antara pukul 2 hingga 3 petang, melibatkan ruang udara sekitar SIC dan kawasan berhampiran.
Operasi berkenaan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pertunjukan udara atau fly-past Gulf Air sempena hari perlumbaan pada Ahad ini, manakala sesi raptai akan diadakan lebih awal.
“Orang ramai di kawasan berkenaan mungkin melihat pesawat terbang pada altitud lebih rendah daripada biasa dan dinasihatkan supaya tidak cemas.
“Operasi ini telah diselaraskan dengan pihak berkuasa berkaitan dan akan dilaksanakan mengikut keperluan keselamatan yang ditetapkan,” menurut CAAM.
Dalam masa sama, CAAM memberi amaran kepada pengendali dron supaya tidak menerbangkan peranti berkenaan tanpa kebenaran di ruang udara terjejas sepanjang acara berlangsung.
Menurut pihak berkuasa itu, penerbangan dron tanpa kebenaran boleh mendatangkan risiko serius kepada pesawat yang beroperasi pada altitud rendah, selain mengancam keselamatan pengunjung dan orang ramai di darat.
“Pengendali yang menerbangkan dron tanpa kebenaran boleh dikenakan siasatan dan tindakan penguatkuasaan mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 serta undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.
CAAM meminta semua pihak memberikan kerjasama dan mematuhi sekatan ditetapkan bagi memastikan ruang udara sekitar SIC bebas daripada sebarang gangguan sepanjang operasi penerbangan berlangsung.
Formula 1 kembali menggegarkan SIC selepas kali terakhir litar itu menganjurkan perlumbaan F1 pada 2017. Kali ini, Sepang menjadi lokasi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober.
Perlumbaan tersebut dipindahkan ke Malaysia selepas perlumbaan asal di Bahrain tidak dapat diteruskan susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat. Ia juga mencatat sejarah sebagai kali pertama perlumbaan F1 yang dibatalkan dipindahkan untuk dianjurkan di negara lain.
Perlumbaan utama dijadualkan bermula pukul 3 petang Ahad dan berlangsung sebanyak 56 pusingan di SIC. – MYBERITA
