IPOH – Kehadiran seekor harimau belang dipercayai dari Hutan Simpan Bukit Kinta dikesan berhampiran Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando, Ulu Kinta, selepas beberapa kesan tapak kaki haiwan itu ditemukan semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Dr Pazil Abdul Patah berkata, pemeriksaan fizikal oleh anggota jabatan berkenaan mengesahkan penemuan beberapa kesan tapak kaki harimau belang di lokasi terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
Pazil berkata, pemantauan di kawasan berkenaan akan diteruskan bagi menilai tahap risiko serta menjejaki pergerakan haiwan terbabit berdasarkan maklumat semasa.
“Pemantauan akan diteruskan berdasarkan penilaian risiko dan perkembangan semasa, khususnya maklumat berkaitan pergerakan harimau belang tersebut daripada anggota Perhilitan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
Beliau pada masa sama menasihatkan penduduk supaya tidak cuba menghampiri atau menjejaki haiwan berkenaan, selain mengelakkan aktiviti bersendirian di kawasan yang berisiko.
“Penduduk dinasihatkan supaya tidak menghampiri atau cuba menjejaki harimau tersebut, mengelakkan aktiviti bersendirian di kawasan berisiko dan segera melaporkan sebarang kehadiran,” katanya.
Pazil berkata, harimau berkenaan dipercayai keluar dari habitat asalnya di Hutan Simpan Bukit Kinta, yang terletak kira-kira 1.04 kilometer dari lokasi kesan tapak kaki ditemukan, berkemungkinan untuk mencari makanan.
“Hutan Simpan Bukit Kinta merupakan habitat asal bagi spesies ini, dan kita percaya haiwan berkenaan merayau keluar dari kawasan hutan tersebut untuk mencari sumber makanan,” katanya.
Dalam usaha mengawal pergerakan haiwan terbabit, Perhilitan turut memasang sebuah perangkap lebih sebulan lalu di lokasi berhampiran, kira-kira 1.35 kilometer dari kawasan kelibat harimau itu dikesan.
Kehadiran harimau berkenaan merupakan kali kedua dilaporkan di kawasan sekitar Ulu Kinta selepas seekor harimau belang jantan berjaya ditangkap berhampiran Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta pada 20 Disember 2023.
– BERNAMA
