KUALA LUMPUR – Insiden Jalur Gemilang yang dipasang tanpa lambang bulan dan bintang di Pantai Batu Buruk, di sini, disifatkan sebagai kes terpencil dan tidak disengajakan.
Video memaparkan keadaan bendera berkenaan tular di media sosial semalam , sekali gus mencetuskan persoalan serta perdebatan dalam kalangan warganet.
Menerusi video tersebut, Jalur Gemilang yang dipasang di kawasan berkenaan dilihat tidak mempunyai lambang bulan sabit dan bintang, sedangkan kedua-dua elemen berkenaan merupakan antara simbol penting pada bendera Malaysia.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya menganggap kejadian tersebut sebagai perkara yang tidak disengajakan dan akan memastikan siasatan dilakukan.
“Saya rasa itu bukan kes yang disengajakan, kes yang terpencil dan tidak disengajakan.Justeru, kita akan lakukan siasatan dan memastikan perkara itu tidak berulang lagi, walaupun siapa juga yang memasangnya termasuk orang awam dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lizan Che Mat menjelaskan, bendera berkenaan sebenarnya mempunyai lambang bulan dan bintang, namun kedua-dua bahagian tersebut tercabut daripada jahitannya.
Menurutnya, keadaan itu dipercayai berlaku akibat ribut kuat yang melanda kawasan berkenaan.
“Berikutan kejadian itu, pihak kami mengambil tindakan serta-merta dengan menurunkan bendera berkenaan pada Jumaat (7 Ogos) lalu dan menggantikannya dengan Jalur Gemilang yang baharu.
“Bendera yang lama bukan tidak ada bulan dan bintang, cuma kita jahit dan bahagian sebelah itu tercabut akibat ribut kuat pada hari berkenaan,” jelasnya.
Lizan berkata, MBKT mengambil serius perkara tersebut dan akan memastikan semua Jalur Gemilang yang dipasang berada dalam keadaan baik serta mematuhi spesifikasi ditetapkan.
Bagi mengelakkan kejadian sama berulang, MBKT selepas ini tidak akan menjahit semula bahagian bendera yang rosak.
Sebaliknya, pihak berkuasa tempatan itu akan membeli Jalur Gemilang yang sudah siap dan sempurna sepenuhnya sebelum dipasang.
Langkah berkenaan diambil bagi memastikan pemasangan Jalur Gemilang di kawasan awam sentiasa berada dalam keadaan sempurna, selain mengelakkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

