SERDANG – Penguasaan bahasa asing termasuk bahasa Cina dilihat sebagai satu kelebihan strategik kepada negara, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, walaupun keutamaan tetap diberikan kepada pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, penguasaan bahasa lain seperti bahasa Inggeris dan bahasa Cina juga penting memandangkan kedudukan bahasa berkenaan semakin dominan dalam ekonomi dan pelaburan di rantau Asia serta peringkat global.
“Dalam negara merdeka dan berdaulat, kita mesti terima hakikat bahawa memberi ruang kepada perkembangan bahasa lain itu menguntungkan, bukan merugikan. Asalkan semua menerima kedudukan bahasa Melayu, maka tidak salah untuk kita pelajari bahasa lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) 2026 di Wisma Huazong, Seri Kembangan, hari ini.
Menurutnya, bahasa Cina kini diiktiraf sebagai antara bahasa ekonomi penting dunia, malah banyak universiti di Barat turut menawarkan bahasa berkenaan sebagai subjek elektif pilihan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia tidak rugi jika terus memperkukuh penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, sambil pada masa sama mengangkat modul pembelajaran bahasa lain demi kepentingan masa depan generasi muda.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengingatkan bahawa negara tidak seharusnya terlalu terheret dengan isu sensitif bersifat perkauman sehingga mengabaikan agenda ekonomi dan pembangunan.
Katanya, majoriti rakyat mahukan keamanan, perpaduan dan kemakmuran, justeru semua pihak perlu menolak provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
Beliau yakin Malaysia mempunyai potensi masa depan yang baik sekiranya rakyat bersatu dan memberi tumpuan kepada usaha memajukan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

