Ahad, 30 Ogos 2026
IKLAN PTPTN

Cabutan Prime Bonanza

Simpan SSPN Prime & rebut hadiah menarik.

Sertai →
PendidikanSUKIPT 2026 tawar RM20,000 kepada atlet pecah rekod kebangsaan

SUKIPT 2026 tawar RM20,000 kepada atlet pecah rekod kebangsaan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan pemberian insentif sebanyak RM20,000 kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara yang dipertandingkan pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, insentif berkenaan merupakan antara usaha KPT menggalakkan mahasiswa mengembangkan potensi dalam bidang sukan serta mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Antara yang paling utama ialah bagi atlet yang dapat memecahkan rekod kebangsaan pada kali ini, mereka akan ditawarkan sebanyak RM20,000.

“Saya harap di sini kita dapat mencungkil bakat-bakat dalam bidang sukan yang dipertandingkan itu, bagi kita meletakkan mereka ini di peringkat kebangsaan dan juga di peringkat antarabangsa,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan SUKIPT 2026 di UM Arena, Universiti Malaya (UM), semalam.

Menurut beliau, SUKIPT 2026 bukan sekadar medan pertandingan sukan, sebaliknya menjadi platform untuk mahasiswa membuktikan keupayaan dalam bidang sukan dan akademik, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan atlet yang mampu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Beliau berkata, sukan merupakan wahana penting dalam membentuk generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang keilmuan, malah mampu menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

SUKIPT yang kini memasuki edisi ketujuh turut menjadi ruang untuk mahasiswa daripada universiti awam, universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti berkumpul, berinteraksi serta menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan warga institusi pendidikan tinggi (IPT).

Bertemakan “Mencipta Legasi Juara”, SUKIPT 2026 berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September dengan penyertaan 64 kontinjen dan 7,697 atlet yang bersaing merebut 229 pingat emas.

Temasya berkenaan turut mendapat sokongan kira-kira 2,000 pegawai teknikal dan 750 sukarelawan bagi memastikan kelancaran penganjuran sepanjang kejohanan.

Dalam perkembangan sama, Zambry berkata kejayaan mahasiswa Malaysia di pentas antarabangsa membuktikan atlet IPT mampu mengimbangi tuntutan akademik dengan kecemerlangan dalam sukan.

“Empat mahasiswa Malaysia membuktikan mereka mampu bersaing dengan yang terbaik di dunia dan menempa kejayaan di Sukan Komanwel Glasgow,” katanya.

Beliau turut mengetengahkan kejayaan atlet IPT seperti Khieu Hoe Yean dari UCSI University dan Wong Ling Ching dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mencatat pencapaian di Sukan Universiti Dunia 2025.

Tambah beliau, kejayaan berkenaan membuktikan institusi pendidikan tinggi bukan sahaja melahirkan graduan berilmu, tetapi turut berupaya membentuk atlet berkualiti yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, inisiatif pemberian insentif RM20,000 tersebut selaras dengan dasar KPT menerusi konsep “Podium dan Ijazah”, yang memberi peluang kepada mahasiswa mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan tanpa mengabaikan pendidikan akademik.

“Maknanya, mereka terlibat menjadi atlet yang hebat dan pada masa sama memberikan tumpuan dalam bidang pendidikan.

“Apabila mereka tamat dalam bidang sukan, mereka juga akan memperoleh segulung ijazah,” katanya.

KPT turut menyediakan laluan khas pengambilan ke institusi pendidikan tinggi kepada atlet berpotensi sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan bakat sukan negara.

Zambry berkata pendekatan itu membolehkan mahasiswa yang mempunyai potensi dalam bidang sukan diberikan keutamaan untuk terus dibangunkan, di samping meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi.

“Kita bukan hanya mendidik daripada segi akademik, tetapi mereka yang berpotensi untuk kita bina dalam bidang sukan juga akan diberikan keutamaan,” katanya.

SUKIPT 2026 sekali gus menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu mahasiswa dan memberi peluang kepada atlet IPT untuk mencipta legasi sebagai juara sebelum melangkah lebih jauh ke pentas kebangsaan dan dunia.

-Iklan-
ARTIKEL BERKAITAN
-Iklan-