KUALA LUMPUR – Selepas 18 bulan ‘berkampung’ dalam dunia pertandingan realiti, penyanyi muda Hussain Jamilul Hayat akhirnya menutup perjalanan panjang itu dengan kejayaan paling manis apabila dinobatkan sebagai juara Big Stage Rocketfuel.
Pemilik nama penuh Hussain Jamilul Hayat, 23, berkata kemenangan tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi bukti kepada keluarga dan peminat bahawa segala pengorbanan sepanjang menyertai dua program realiti secara berturut-turut tidak sia-sia.
“Alhamdulillah saya sudah buktikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia dan ini adalah satu rezeki serta menjadi salah satu momen terindah dalam hidup.
“Kejayaan ini juga berkat doa keluarga dan peminat-peminat yang tidak pernah berhenti memberi sokongan sejak saya ‘zero’ sehingga sekarang,” katanya.
Perjalanan Hussain bukan bermula di pentas Big Stage Rocketfuel, sebaliknya menerusi Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), sebelum meneruskan perjuangan dalam program berkenaan dan berjaya menampilkan perkembangan ketara sebagai seorang penyanyi.
Malah, kejayaan di Big Stage Rocketfuel turut menjadi penebus kekecewaan selepas Hussain sekadar bergelar naib juara TTMM2 apabila tewas kepada Anggre.
Menurut Hussain, tempoh panjang berada dalam dua pertandingan itu menguji fizikal dan mentalnya, namun segala kepenatan akhirnya berbaloi selepas dia membawa pulang hadiah utama.
“Penat lelah selama lapan belas minggu sepanjang berada dalam dua pertandingan akhirnya terbayar dan sebab itu saya sujud syukur lama, alhamdulillah sudah bebas.
“Akhirnya saya sudah boleh makan apa saja yang diingini termasuk makanan berminyak, durian dan minum minuman berais, sebelum ini saya perlu banyak pantang,” katanya sambil berseloroh mengenai makanan kegemarannya.
Di sebalik kejayaan tersebut, Hussain menyifatkan kemenangan itu sebagai hadiah paling bermakna buat bapanya yang banyak membimbing perjalanan seninya.
Katanya, nasihat bapanya supaya sentiasa merendah diri dan bersedia menghadapi cabaran industri menjadi pegangan utama sepanjang menyertai pertandingan.
“Ini adalah hadiah kepada abah dan sebab itu saya ucapkan terima kasih banyak kali kerana dia sudah beri banyak tunjuk ajar dan nasihat.
“Nasihat dia senang saja, ‘stay on top, be humble dan buckle up’.
“Satu lagi yang dia pesan, sentiasa memaafkan semua orang setiap kali sebelum tidur, saya akan pegang pesanan itu sampai bila-bila,” katanya.
Lebih menarik, Hussain sendiri tidak meletakkan sasaran tinggi ketika menyertai Big Stage Rocketfuel dan hanya berharap dapat bertahan sehingga ke pentas final.
“Saya sebenarnya tak sangka sebab sasaran hanya sampai final sahaja.
“Dapat masuk Big Stage pun sudah bersyukur sebab berpeluang sertai kelas vokal dan sebagainya kerana bayaran untuk kelas begitu di luar mencecah RM300 hingga RM500,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Hussain membawa pulang wang tunai RM30,000 selain kontrak rakaman bernilai RM100,000 bersama Rocketfuel.
Biarpun sudah mencapai kemuncak dalam arena pertandingan realiti, Hussain tidak mahu menjadikan kemenangan itu sebagai noktah kepada perjalanan seninya.
Sebaliknya, anak kelahiran Ipoh, Perak itu mahu menggunakan momentum berkenaan untuk menghasilkan karya berkualiti dan membuktikan dirinya mampu bertahan dalam industri selepas tamat program realiti.
“Sebenarnya saya sudah lama bersedia dan abah juga banyak kali terangkan banyak perkara mengenai industri ini.
“Sebelum ini saya banyak mengecewakan abah ketika zaman awal remaja dahulu dan sekarang saya nak bayar semua semula dengan kejayaan,” katanya.
Hussain yang juga anak saudara kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah, pada masa sama mengakui sudah bersedia menghadapi cabaran termasuk kecaman serta pandangan negatif daripada segelintir pihak.
“Kita semua manusia biasa, bukan mudah nak senangkan hati orang.
“Dalam 10 orang, mesti akan ada seorang rasa dengki tetapi nak buat macam mana.
“Cuma benda-benda jahat begini tak kekal lama pun, paling penting, ikhlaskan hati dan sentiasa memaafkan orang.
“Cara saya, buat tak tahu saja dan fikirkan apa yang lebih penting untuk hari mendatang,” katanya.

