SHAH ALAM – Peserta Big Stage Rocketfuel, Danny mengakui beliau sudah bersedia menerima hakikat bakal tersingkir selepas persembahan pada minggu suku akhir apabila merasakan nyanyiannya tidak berada pada tahap terbaik.
Walaupun berada dalam kelompok tiga markah terendah selepas mempersembahkan lagu “Sayang Orang Sama” nyanyian asal Adira Suhaimi, Danny menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran diumumkan, sekali gus melayakkannya meneruskan cabaran ke peringkat separuh akhir minggu hadapan.
Menurut Danny, beliau sudah menjangkakan namanya akan diumumkan kerana menyedari beberapa kesilapan yang berlaku sepanjang persembahan.
“Saya sebenarnya dah rasa macam saya yang terkeluar sebab persembahan saya tadi macam kurang best sebenarnya.
“Alhamdulillah bila diumumkan tiada penyingkiran, saya rasa sangat lega. Dapat pergi ke semifinal pun saya dah bersyukur,” katanya kepada media selepas konsert malam tadi.
Danny berkata, peluang kedua yang diterimanya menjadi pembakar semangat untuk memperbaiki mutu persembahan selepas dua kali berada dalam kedudukan tercorot.
Katanya, beliau sedar masih belum mencapai tahap yang diharapkan dan mengakui beberapa kesilapan berpunca daripada masalah kawalan pernafasan serta rasa gementar ketika berada di pentas.
“Saya sedar saya ada buat salah. Dari awal-awal lagi saya dah rasa ada yang tak kena sebab saya macam tak cukup nafas. Saya nervous dan lagu itu memang agak mencabar,” katanya.
Mengulas teguran juri berhubung kesilapan kecil yang masih berlaku di peringkat suku akhir, Danny mengakui masalah gementar ketika bertanding masih menjadi cabaran terbesar buat dirinya.
“Saya ada masalah nervous yang memang susah nak kawal. Dekat belakang pentas tangan saya memang sejuk sepanjang masa.
“Saya bukan nervous menyanyi, tetapi nervous bertanding sebab saya tak ada pengalaman bertanding. Tiba-tiba dapat pentas besar macam ini memang agak cuak,” katanya.
Bagaimanapun, Danny optimis mampu menampilkan persembahan lebih baik pada konsert separuh akhir minggu depan yang bertemakan lagu tradisional.
Katanya, genre berkenaan lebih dekat dengan dirinya kerana sering menyanyikan lagu-lagu tradisional ketika membuat persembahan secara langsung di TikTok serta jemputan di universiti.
“Insya-Allah minggu depan saya rasa saya boleh buat lebih baik. Saya biasa nyanyi lagu tradisional, jadi saya harap dapat tunjuk peningkatan berbanding minggu ini,” katanya.
Selain itu, Danny turut berkongsi bahawa sifat pemalunya pada awal pertandingan kini semakin hilang apabila sudah selesa bergaul dengan peserta lain.
“Pada awalnya saya memang malu dan buat hal sendiri. Tapi sekarang dah rasa macam keluarga, jadi saya lebih selesa untuk jadi diri sendiri,” katanya.


