KUALA TERENGGANU – Pelumba muda CKJ Racing, Farres Putra Mohd Fadhil, 18, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan pusingan kelima PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix Championship di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kemalangan berlaku ketika perlumbaan akhir kategori CP150 dan membabitkan tiga motosikal yang dipercayai bergesel sesama sendiri.
Menurutnya, kejadian berlaku pada pusingan pertama perlumbaan sebelum Farres yang mengalami kecederaan dibawa dengan ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian sebelum Ketua Polis Balai Gong Badak bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan.
Bedah siasat terhadap mangsa dijalankan di Jabatan Forensik HSNZ kira-kira jam 10 malam hingga 11.55 malam semalam dan mengesahkan kematian berpunca daripada kecederaan berganda.
Sementara itu, rakan Allahyarham, Nazrul Izad Muhammad Bahuddin, 26, berkata Farres sempat menunaikan solat Zuhur sebelum turun ke litar bagi menyertai perlumbaan terakhirnya.
Lebih menyentuh hati, Farres dikatakan memakai kopiah hitam dan berdoa agak lama selepas solat, sesuatu yang jarang dilakukan sebelum ini.
“Saya terkejut sebab kali ini dia pakai kopiah hitam. Jarang saya tengok dia pakai kopiah ketika solat dan berdoa agak lama.
“Tidak tahu apa yang dia doakan, tetapi itu doa terakhir yang saya lihat dia lakukan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik HSNZ malam tadi.
Nazrul berkata, dia tidak melihat dengan jelas kejadian berkenaan kerana memulakan perlumbaan dari petak ke-16, manakala Farres bermula dari petak ke-9.
Bagaimanapun, dia melihat sekurang-kurangnya tiga motosikal terjatuh ketika melalui kawasan kejadian sebelum semua pelumba memperlahankan motosikal masing-masing.
“Saya nampak tiga motosikal jatuh. Nampak agak teruk, tetapi tidak sangka sampai jadi begini,” katanya.
Nazrul menyifatkan pemergian Farres sebagai kehilangan besar kepada dunia sukan permotoran negara, terutama kerana Allahyarham masih muda dan mempunyai potensi besar dalam bidang berkenaan.
Farres yang berasal dari Selangor itu mula menceburi sukan permotoran sejak berusia lapan tahun dan turut mendapat sokongan Yamaha sebagai antara pelumba muda yang mempunyai masa depan cerah.
Dalam kejadian sama, dua lagi pelumba daripada Castro Yuzy Racing Team turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di HSNZ.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

