Sabtu, 19 Julai 2025
UTAMAEKSKLUSIF"Awak tak pernah bersuara, tapi selalu buat saya rasa difahami", kisah lembu...

“Awak tak pernah bersuara, tapi selalu buat saya rasa difahami”, kisah lembu korban buat ramai nangis

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Sebuah catatan Facebook yang dimuat naik oleh seorang pengguna baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila kisah perpisahannya dengan seekor lembu korban yang dipeliharanya sendiri sejak kecil tular di media sosial.

Dalam hantaran bertajuk “Selamat Tinggal Sahabat”, pengguna tersebut berkongsi luahan emosi yang menyentuh hati tentang hubungan luar biasa antara dirinya dan seekor lembu yang bakal disembelih sempena Aidiladha akan datang.

“Saya pernah bela banyak haiwan. Tapi awak lain… Dalam diam awak, saya jumpa ketenangan yang manusia jarang beri,” tulisnya.

Menurutnya, lembu tersebut bukan sekadar haiwan ternakan, tetapi menjadi tempat dia menemui ketenangan ketika berdepan kesukaran hidup. Meskipun tidak pernah berbicara, kehadiran haiwan itu memberikan rasa difahami dan disayangi, lebih daripada yang pernah diberi oleh manusia.

“Saya pernah duduk di sisi awak waktu langit gelap, waktu jiwa saya serabut, waktu hidup saya sempit. Saya cuma letak tangan atas kepala awak… dan entah kenapa, saya rasa dunia jadi perlahan.”

Lebih menyentuh, penulis luahan itu mengakui bahawa dia kini sedang mengira hari sebelum terpaksa melepaskan lembu kesayangannya, yang bakal menjadi haiwan korban sempena Aidiladha. Meskipun berat hati, beliau percaya bahawa pengorbanan ini adalah tanda cintanya yang paling tulus, cinta yang tidak bersandar kepada memiliki, tetapi sanggup melepaskan kerana Tuhan.

“Saya tahu awak tak faham apa itu pengorbanan. Tapi bila awak rebah nanti, saya percaya… awak akan bawa cinta saya kepada Tuhan, dalam bentuk darah dan takbir.”

Catatan itu berakhir dengan sebuah harapan yang penuh doa agar lembu tersebut menjadi saksi kebaikannya di akhirat kelak.

“Saya cuma nak ada satu saksi. Yang akan datang dari arah kanan. Yang akan kata, ‘Dia pernah lepaskan saya demi Tuhan. Dia pernah menangis untuk redha. Dan saya datang hari ini… untuk bantu dia melintas ke syurga.’”

Perkongsian itu telah meraih ribuan reaksi, perkongsian semula dan komen daripada netizen yang rata-ratanya tersentuh dengan pengorbanan dan kasih sayang ikhlas yang ditunjukkan. Ramai memuji kepekaan penulis terhadap makna sebenar Aidiladha serta keindahan hubungan manusia dan haiwan yang jarang diberi perhatian.

Dalam kesibukan dunia hari ini, kisah ini menjadi peringatan lembut bahawa cinta, pengorbanan dan redha datang dalam pelbagai bentuk, termasuk daripada seekor haiwan yang diam, tetapi cukup setia.

Iklan
ARTIKEL BERKAITAN