Selasa, 16 Jun 2026

Khairul Aming jawab isu video ‘flop’, rupanya…

KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming, tampil memberikan penjelasan selepas sebuah video terbaharu yang dimuat naiknya di platform TikTok mencatat jumlah tontonan lebih rendah daripada kebiasaannya, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi siaran langsung di TikTok, Khairul atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 34, berkata terdapat segelintir netizen yang membuat pelbagai andaian terhadap situasi tersebut, termasuk dakwaan kononnya popularitinya mula merosot.

Menurutnya, ada juga komen yang menyatakan seolah-olah era kandungan miliknya sudah tidak lagi mendapat sambutan seperti dahulu, selain mengaitkan perubahan trend platform media sosial semasa.

“Bila tengok video terbaru saya hanya sekitar 300,000 tontonan, ramai mula buat pelbagai spekulasi. Ada yang kata saya dah ‘flop’, ada juga yang kata orang dah tak tengok TikTok dan sebagainya,” katanya dalam sesi berkenaan.

Bagaimanapun, Khairul menjelaskan video tersebut bukanlah kandungan baharu sepenuhnya, sebaliknya ia merupakan eksperimen yang dilakukan untuk melihat bagaimana algoritma TikTok mengesan semula kandungan lama yang dimuat naik dengan sedikit pengubahsuaian.

Jelasnya, video itu pernah dimuat naik sebelum ini dan mencatatkan lebih 10 juta tontonan pada Oktober tahun lalu.

“Saya cuba muat naik semula video yang sama, cuma ubah sedikit suntingan dan suara latar. Saya nak lihat sama ada sistem TikTok akan kenal ia kandungan berulang atau tidak,” katanya.

Tambahnya, hasil eksperimen itu menunjukkan platform berkenaan berjaya mengesan kandungan tersebut sebagai video lama, sekali gus menyebabkan capaian tidak setinggi kebiasaan dan tidak banyak dipaparkan di halaman ‘For You Page’ (FYP).

Dalam pada itu, beliau berkata dia memilih untuk tidak memadam video berkenaan walaupun sedar ia tidak mencapai prestasi seperti biasa, dan menganggap perkara itu sebagai sebahagian daripada proses ujian kandungan.

“Saya biarkan sahaja video itu di profil. Tak semua perkara perlu dikejar sangat dari segi tontonan,” katanya lagi.

Aqilah Nadhirah
Aqilah Nadhirah
aqilahnadhirah@portalmyberita.com