MELAKA – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersetuju menaikkan kadar Skim Bantuan Makanan bulanan kepada golongan asnaf miskin dan mualaf di negeri ini daripada RM250 kepada RM300 sebulan, bermula esok.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dalam satu sidang media hari ini.
“Sebelum ini kadar bantuan makanan adalah RM250 sebulan dan kita bersetuju untuk naikkan kepada RM300. Bagi asnaf fakir, kadar bantuan kekal sebanyak RM400 sebulan,” katanya.
Menurut beliau, keputusan menaikkan kadar bantuan itu dibuat setelah mengambil kira peningkatan kos sara hidup, khususnya kesan daripada kenaikan harga barang mentah yang turut menjejaskan nilai barangan yang diagihkan kepada penerima bantuan.
Beliau turut menjelaskan bahawa skim bantuan sedia ada sudah lama tidak disemak semula, menyebabkan keperluan penambahbaikan perlu dilakukan segera demi kebajikan asnaf.
Selain itu, MAIM turut mengumumkan peningkatan dalam beberapa skim bantuan lain termasuk, Skim Bantuan Yuran Persekolahan Sekolah Rendah (one-off) dinaikkan daripada RM70 kepada RM100, Skim Bantuan Tunai Mualaf dinaikkan daripada RM200 kepada RM300, Skim Bantuan Tunai Mualaf Baharu (automatik) turut dinaikkan daripada RM200 kepada RM300.
Setakat 24 Jun 2025, seramai 7,810 penerima mendapat manfaat daripada Skim Bantuan Makanan Bulanan MAIM, yang terdiri daripada 112 asnaf fakir dan 7,698 asnaf miskin.
Langkah ini dilihat sebagai usaha MAIM untuk terus memperkukuh sistem sokongan sosial kepada komuniti Islam yang memerlukan di negeri Melaka.