PETALING JAYA – Penyanyi Datuk Nora Ariffin hari ini memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, Dr Rushdi Ramli di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Peguam Nora, Sarah Mohd Ali berkata pihak defendan telah dimaklumkan berkenaan permohonan tersebut dan prosiding pertama akan berlangsung pada 6 Mei ini, jam 9 pagi.
Nora sudah selamat failkan cerai terhadap suami di bawah Seksyen 47.
Tarikh sebutan pertama prosiding perceraian adalah pada 6 Mei, jam 9 pagi.
Isu-isu perceraian akan dibentangkan di mahkamah nanti.
“Pihak media juga sedia maklum apa yang telah berlaku sebelum ini dan kemungkinan ada isu-isu tersebut akan disebutkan dalam mahkamah nanti.
“Pihak Nora akan serahkan salinan permohonan cerai kepada pihak defendan iaitu suaminya.
Pihak suami Nora juga maklum berkenaan proses hari ini,” katanya kepada media.
Sarah turut memaklumkan bahawa punca perceraian melibatkan kehadiran pihak ketiga yang mengganggu rumah tangga pasangan itu.
“Perceraian ini tidak boleh dielakkan lagi disebabkan ada unsur orang ketiga.
“Perkahwinan mereka cukup bahagia, tetapi disebabkan ada gangguan pihak ketiga.
Namun kami tidak dedahkan dahulu siapa pihak ketiga tersebut,” jelasnya.
Sebelum ini, Nora memuat naik foto hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat yang dipercayai berkaitan usaha memfailkan perceraian, selepas didakwa didesak oleh pihak ketiga.
Dr Rushdi turut mengakui menerima tekanan daripada pihak tertentu agar berpisah dengan Nora.
Baru-baru ini, Nora sekali lagi menyatakan hasrat untuk memfailkan perceraian selepas gagal menemui jalan penyelesaian.
Nora mendirikan rumah tangga dengan Dr Rushdi pada hujung tahun 2021.
Sebelum itu, beliau pernah berkahwin dengan komposer Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat anak.
Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.