KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa sistem digital Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah diserang oleh penggodam baru-baru ini, dengan tuntutan bayaran sebanyak USD10 juta.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan tunduk kepada ugutan tersebut dan menekankan keperluan untuk memperkukuhkan sistem keselamatan siber negara.
“Semalam kita bicara tentang serangan siber dan hacking (godam) dan agak berat terhadap MAHB. Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan, termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperolehi dana USD10 juta atau sebagainya, saya dimaklumkan,”
“Saya tak tunggu lima saat. Saya terus jawab ‘No’. Tidak mungkin negara ini akan selamat kalau pimpinan dan sistemnya mengizinkan kita tunduk kepada ultimatum penjenayah dan pengkhianatan.”
Beliau juga menekankan pentingnya meningkatkan kekuatan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras rasuah dan memastikan tatakelola yang baik.
“Saya yakin bila bicara soal pembanterasan rasuah dan tatakelola, sekiranya agensi penguat kuasa seperti PDRM dan lain-lain secara tegas dan keras untuk satu dua tahun ini, tidak tolak ansur sama sekali, tidak peduli pangkat dan pengaruh mereka, ambil tindakan sekeras-kerasnya… saya yakin suasana politik dan iklim negara ini akan jauh lebih baik.”
Turut hadir pada sambutan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.