Tag: jbpm perak

  • Dua maut, seorang tersepit nahas dua lori menuju Cameron Highlands

    Dua maut, seorang tersepit nahas dua lori menuju Cameron Highlands

    IPOH – Perjalanan tiga lelaki di laluan Simpang Pulai menuju Cameron Highlands berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan membabitkan dua lori, malam tadi.

    Dalam kejadian di Jalan Simpang Pulai menghala Cameron Highlands itu, dua lelaki berusia 40 dan 35 tahun yang menaiki lori membawa muatan sayur disahkan meninggal dunia di lokasi.

    Seorang lagi lelaki berusia 42 tahun yang memandu lori membawa muatan habuk kayu pula cedera selepas tersepit di dalam kenderaannya.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.36 malam sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dikerahkan ke lokasi.

    “Kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan habuk kayu dengan seorang lelaki berusia 42 tahun tersepit di dalamnya dan sebuah lori membawa muatan sayur di mana terdapat dua lelaki masing-masing berusia 40 dan 35 tahun.

    “Kedua-dua lelaki yang menaiki lori muatan sayur itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

    Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan hidraulik untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum lelaki berkenaan diserahkan kepada ambulans untuk dibawa ke hospital.

    Mayat kedua-dua mangsa pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Pasukan bomba turut membersihkan sisa kemalangan dan tumpahan minyak di atas jalan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.15 pagi selepas lokasi disahkan selamat.

  • Batu hempap lori di kuari, pemandu maut tersepit

    Batu hempap lori di kuari, pemandu maut tersepit

    IPOH – Seorang pemandu lori tidak sempat menyelamatkan diri apabila kenderaannya dihempap batu ketika menjalankan kerja di sebuah kuari di Kampung Kepayang, dekat sini, petang tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5.18 petang itu, mangsa, Sivakumar Marathamuthu, 53, ditemukan tersepit di dalam kenderaan berkenaan.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai serta BBP Gopeng digerakkan ke lokasi.

    Menurutnya, pasukan bomba tiba pada pukul 5.29 petang sebelum melakukan penilaian awal dan memulakan operasi menyelamat.

    “Komander operasi melaksanakan ‘size-up’ sebelum mengaplikasikan Konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mangsa berjaya dikeluarkan tidak lama kemudian, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

    Operasi yang melibatkan 12 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan sebuah kenderaan utiliti itu berjaya dikawal pada pukul 6.10 petang.

    Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.22 petang.

  • Warga emas OKU maut dalam kebakaran

    IPOH – Seorang wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut selepas rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Jalan Lahat, Simpang Pulai, di sini, malam tadi. 

    Dalam kejadian itu, mangsa dikenali Noriah Mat Desa, 81, yang juga pekak dan bisu, ditemukan rentung di ruang tamu bahagian tengah rumah berkenaan.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.31 malam.

    “Setibanya di lokasi, didapati api sedang marak membakar hampir keseluruhan rumah jenis kelas A dan terdapat seorang mangsa terperangkap manakala adik lelakinya yang berusia 79 tahun berjaya menyelamatkan diri. 

    “Selepas kerja-kerja pemadaman selesai, mangsa dijumpai mati terbakar di ruang tamu bahagian tengah rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Menurut beliau, kebakaran itu memusnahkan kira-kira 90 peratus struktur rumah terbabit.

    Katanya, Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM bersama polis telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, selain Unit Pengesan K9 turut dipanggil membantu siasatan.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Operasi pemadaman melibatkan 17 anggota dari BBP Simpang Pulai dengan bantuan BBP Pasir Puteh serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pekan Baru.

    Sumber air diperoleh daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran sehingga kebakaran berjaya dikawal pada pukul 11.20 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.01 pagi.

  • Lima pelajar PSAS terperangkap kepala air, berjaya diselamat

    TANJUNG MALIM – Detik cemas menimpa lima pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang apabila mereka terperangkap kira-kira sejam di tengah sungai selepas dihanyutkan kepala air di Kampung Sungai Dara, di sini pada Khamis.

    Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.54 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dengan bantuan BBP Slim River bergegas ke lokasi.

    Menurutnya, kejadian berlaku ketika kelima-lima lelaki berusia 21 tahun itu sedang bermandi-manda sebelum tiba-tiba dihanyutkan arus deras.

    Mereka kemudian berpaut pada batu besar di tengah sungai bagi menyelamatkan diri.

    “Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kesemua mangsa berada di atas batu di tengah sungai selepas terperangkap akibat kepala air berpunca daripada hujan lebat.

    “Operasi menyelamat dijalankan menggunakan teknik menyeberang sungai dengan bantuan jaket keselamatan, tali dan beg lontar (throw bag) sebelum mangsa dibawa keluar secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, semua mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan selamat kira-kira jam 8.25 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.35 malam dengan kekuatan sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah pacuan empat roda.

  • Pemandu trak FRU disahkan maut, jumlah korban meningkat kepada sembilan orang

    TELUK INTAN – Pemandu trak yang membawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan tragis di Jalan Sungai Lampam di sini hari ini disahkan turut meninggal dunia.

    Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, ketika dihubungi media sebentar tadi.

    “Maklumat terbaru yang diterima mengesahkan pemandu trak turut maut dalam kejadian tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang terkorban seramai sembilan orang,” katanya.

    Menurut Sayani, kemalangan yang membabitkan dua buah kenderaan itu melibatkan 18 anggota FRU secara keseluruhan.

    “Daripada jumlah tersebut, lapan anggota FRU disahkan maut manakala 10 lagi cedera,” jelas beliau.

    Pasukan penyelamat termasuk JBPM, polis dan pasukan perubatan masih berada di lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat dan siasatan lanjut.

    Maklumat lanjut berhubung punca kejadian serta identiti mangsa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

  • Lapan anggota FRU maut nahas dengan lori di Teluk Intan

    TELUK INTAN – Sekurang-kurangnya lapan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 7 disahkan maut selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Sungai Lampam, di sini pagi tadi.

    Difahamkan, kenderaan tersebut membawa 15 anggota FRU termasuk pemandu dan penumpang, yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugas kawalan dalam Operasi Chariot di Teluk Intan semalam.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 8.54 pagi.

    “Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan segera digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.

    “Setakat ini, seramai lapan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian. Mangsa-mangsa yang berjaya dikeluarkan telah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, kerja-kerja menyelamat masih dijalankan bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap.

    Maklumat lanjut mengenai identiti mangsa dan punca sebenar kemalangan sedang disiasat pihak berkuasa. Kejadian menyayat hati itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan selama beberapa jam.

    Orang ramai dinasihatkan agar memberi laluan kepada pasukan penyelamat dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian.