KUALA LUMPUR – Semua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) kini giat melaksanakan pakej bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam usaha merealisasikan sasaran 60 peratus murid di seluruh negara memilih aliran ini.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebanyak 18,113 atau 98.86 peratus pelajar SBP telah mengambil pakej STEM, manakala baki 209 pelajar (1.14 peratus) memilih pakej Sains Sosial.
KPM turut memaklumkan bahawa SBP menawarkan beberapa pakej STEM yang merangkumi, pakej Sains Tulen – Mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan, pakej Sains Tulen dengan Pendidikan Islam – Tambahan subjek Bahasa Arab, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah, pakej Sains Tulen dengan Hafazan – Tambahan subjek Bahasa Arab, Hifz Al-Quran dan Maharat Al-Quran dan pakej Sains Tulen dengan Sains Komputer – Dua mata pelajaran Sains Tulen (Fizik dan Kimia), Matematik Tambahan dan Sains Komputer.
Dalam usaha memperkukuh penguasaan STEM, KPM menegaskan bahawa tumpuan kini adalah meningkatkan jumlah pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen di semua jenis sekolah.
Selain itu, kementerian turut akan memperkenalkan SBP khusus yang memberi penekanan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
\”KPM menyambut baik saranan Perdana Menteri untuk meningkatkan bilangan murid dalam bidang STEM bagi menampung keperluan sumber tenaga manusia dalam bidang berkaitan,\” menurut kenyataan itu.
Bagi memperkasakan pembudayaan STEM, KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam merangka inisiatif yang lebih berkesan.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya 70 peratus pelajar di SBP memilih aliran STEM bermula tahun hadapan.
Beliau menegaskan bahawa usaha meningkatkan penyertaan pelajar dalam bidang ini perlu dipercepatkan sejajar dengan kepentingannya dalam pembangunan negara.