PASIR GUDANG – “Sejuk perut ibu mengandung, hilang lelah bapa yang menggendong,” demikian luahan penuh syukur seorang penghantar barangan, Yusri Mohd Ramli, 52, apabila anak sulungnya diumumkan antara pelajar cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.
Anaknya, Muhammad Naqi, 18, yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai di sini, memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan tersebut.
Yusri, bapa kepada empat cahaya mata, menyifatkan pencapaian itu sebagai hadiah terindah daripada Ilahi serta satu ganjaran kepada usaha dan pengorbanan mereka sekeluarga.
“Alhamdulillah, saya bersyukur atas kejayaan Muhammad Naqi. Ia bukan sahaja menggembirakan kami sekeluarga, malah menjadi bukti kepada usaha gigihnya selama ini.
“Dia memang rajin belajar, kadang-kadang sampai lewat malam. Malah dia juga seorang anak yang mendengar kata dan sangat berdedikasi,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Naqi yang masih teruja dengan keputusan yang diterima berkata, beliau mengambil sembilan subjek termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Ekonomi, Bahasa Arab, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.
Menurutnya, selain akademik, beliau juga aktif dalam bidang kokurikulum sebagai Naib Pengerusi Kadet Remaja Sekolah (KRS) serta Ketua Platun kawad kaki yang mewakili sekolah ke pertandingan peringkat daerah dan negeri.
“Saya bahagikan masa sebaiknya antara aktiviti sekolah, sukan dan ulang kaji pelajaran. Di rumah, saya banyak belajar sendiri menggunakan YouTube dan rujuk soalan-soalan peperiksaan lepas,” katanya.
Jelas Naqi, dia turut mengambil inisiatif bertanya guru sekiranya ada perkara yang tidak difahaminya sama ada ketika dalam kelas mahupun di luar waktu pembelajaran.
Mengulas perancangannya selepas ini, Muhammad Naqi berkata, dia bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam dalam bidang pendidikan atau seni bina.
“Saya akan cuba memohon biasiswa dan berharap dapat sambung belajar demi mencapai impian menjadi guru seperti ibu, atau seorang arkitek,” katanya lagi.

