MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dalam satu kejadian kebakaran membabitkan sebuah unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini, pada Jumaat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Lokman Ghani memaklumkan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jam 2.30 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng dan Ayer Keroh digerakkan ke lokasi.
“Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah di tingkat enam bangunan PPR berkeluasan kira-kira 20 x 40 kaki persegi dan api sedang marak,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, kira-kira 50 peratus daripada unit kediaman tersebut musnah dalam kebakaran, manakala mangsa dipercayai terperangkap di dalam rumah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Setakat ini, operasi pemadaman masih dijalankan dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

