KUALA LUMPUR – Seorang peniaga nasi lemak meluahkan rasa kesal apabila nombor telefonnya disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk membuat panggilan palsu kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Insiden ini berlaku ketika beliau sedang melakukan siaran langsung di platform TikTok.
Menurut hantaran video di akaun TikTok @Walawaempire, wanita tersebut menyedari nombor telefonnya telah digunakan untuk membuat panggilan kecemasan palsu.
Beliau menyatakan rasa panik dan bimbang kerana dikaitkan dengan tindakan yang melibatkan undang-undang, sedangkan beliau tidak terlibat langsung.
\”Mungkin bagi orang yang tidak kena akan anggap benda ini kecil. Tapi masa itu, macam-macam dah saya fikir. Takut juga sebab ia melibatkan panggilan palsu, walhal saya tak buat pun,\” katanya dalam video tersebut.
Beliau menambah bahawa tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengganggu perniagaannya, malah memberi tekanan emosi.
\”Sudahlah tengah berniaga, sanggup orang aniaya macam ni. Tak elok nak \’game\’ orang sampai buat panggilan palsu. Ini semua melibatkan undang-undang. Jangan buat main, satu hari nanti mesti kena juga,\” tegasnya.
Ketika kejadian berlaku, nombor telefonnya sedang digunakan untuk siaran langsung di TikTok, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana nombor tersebut boleh digunakan untuk tujuan lain.
Menjengah ke ruangan komen, orang ramai mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.
Seorang pengguna TikTok, @Ghadafi_dapit_gadap, berkata, \”Macam mana dia boleh gunakan nombor orang lain masalah besar ini.\”
Manakala pengguna lain, @Wokjoko, berkongsi pengalaman serupa, \”Pernah kena berpuluh-puluh orang hubungi saya tanpa henti mereka cakap saya \’call\’ padahal takde pun.\”
Insiden ini menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan maklumat peribadi dan penyalahgunaan teknologi komunikasi.
Pihak berkuasa disarankan untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu yang terlibat dalam membuat panggilan palsu menggunakan nombor telefon orang lain.

