Pesawat Saudi Airlines bawa jemaah haji dilencongkan, terima ancaman bom

JAKARTA – Sebuah pesawat yang membawa pulang 442 jemaah haji dari Arab Saudi ke Indonesia terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan hari ini selepas satu ancaman bom dihantar melalui e-mel kepada pihak berkuasa.

Direktorat Jeneral Penerbangan Awam Indonesia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa e-mel tersebut diterima sekitar pukul 7.30 pagi waktu tempatan, yang mengandungi ugutan untuk meletupkan penerbangan Saudia Airlines SV 5276 dari Jeddah ke Jakarta.

“Ancaman dihantar oleh individu tidak dikenali dan kami menerima laporan daripada pengendali lapangan terbang Indonesia,” kata agensi tersebut.

Ekoran itu, juruterbang pesawat mengambil keputusan untuk melencongkan penerbangan dari destinasi asalnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta ke Medan selepas jam 10 pagi bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin.

Menurut pengendali lapangan terbang InJourney Airports, keputusan mendarat di lapangan terbang terdekat dibuat selepas ancaman keselamatan dikenal pasti.

Pesawat berkenaan membawa 207 jemaah lelaki dan 235 wanita. Semua penumpang telah dipindahkan dari pesawat, manakala unit pemusnah bom kini menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas pesawat tersebut untuk mengesan sebarang bahan letupan.

Seorang pegawai Kementerian Pengangkutan turut mengesahkan kepada AFP bahawa pesawat itu masih berada di Lapangan Terbang Kualanamu dan laman penjejakan penerbangan Flightradar24 turut menunjukkan kedudukan pesawat kekal di Medan setakat tengah hari tadi.

Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik ancaman tersebut.

BACA JUGA:  Jepun larang penumpang guna 'power bank' dalam pesawat mulai April
Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Kumpulan pertama jemaah haji selamat tiba di KLIA

SEPANG - Kumpulan pertama seramai 329 jemaah haji selamat...

Minyak hampir habis tak halang pemuda ini jadi wira ‘escort’ ambulans ke hospital

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang penunggang motosikal membantu membuka...

Ibu mengaku salah campak bayi dari tingkat 10

JOHOR BAHRU – Seorang ibu muda mengaku bersalah di...

DUN Johor dibubar, laluan PRN ke-16 bermula

JOHOR BAHRU – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara rasmi...

Anggrek, Azeva terselamat daripada penyingkiran TTMM2

SHAH ALAM - Konsert minggu ketujuh program realiti hiburan...