SEPANG – Perkhidmatan Aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 yang mula beroperasi sepenuhnya hari ini mendapat pujian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menawarkan sistem pengangkutan pantas, cekap dan mudah diakses oleh semua pengguna.
Menurut Anwar, kemudahan ini memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan imej KLIA sebagai lapangan terbang bertaraf dunia yang mengutamakan keperluan dan keselesaan penumpang.
“Syabas dan tahniah kepada Malaysia Airports dan semua pihak yang terlibat atas usaha berterusan menambah baik mutu perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat serta para pelawat antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, beliau turut meninjau sendiri kemudahan Aerotrain tersebut di KLIA sebelum berlepas untuk memulakan rangka lawatan rasmi ke tiga negara.
Anwar menjelaskan bahawa perkhidmatan Aerotrain kembali beroperasi hari ini setelah menjalani penyelenggaraan dan penambahbaikan menyeluruh, selaras dengan usaha menjadikan KLIA lebih cekap dan moden.
“Saya berpuas hati dengan tahap pengoperasian Aerotrain ini. Ia satu langkah penting bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang, khususnya mereka yang menggunakan KLIA sebagai pintu masuk dan keluar negara,” ujarnya lagi.
Langkah ini menandakan komitmen kerajaan dan pengurusan lapangan terbang dalam menyediakan infrastruktur berkualiti tinggi sejajar dengan standard antarabangsa


