Ibu dan anak maut, suami cedera parah dalam nahas lori terbalik di LPT2

DUNGUN – Seorang wanita dan anak lelakinya maut, manakala suami mereka parah selepas lori tiga tan yang dinaiki hilang kawalan lalu terbalik di Kilometer 362.9, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Plaza Tol Bukit Besi, kira-kira jam 4 petang tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Isnaini Mohd, 42, dan anaknya, Muhammad Al Amin Khairul Syahmi, 5, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizurah Abdul Kadir, kejadian dipercayai berlaku apabila tayar belakang lori pecah, menyebabkan pemandunya, Khairul Syahmi Mat Hassan, 49, yang juga suami Isnaini, hilang kawalan ke atas kenderaan.

“Lori itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu dan ketika kejadian, mereka dikatakan sedang pulang ke rumah di Manir selepas mengambil bekalan peralatan pendawaian elektrik,” katanya.

Tambah beliau, akibat hilang kawalan, ketiga-tiga mangsa tercampak keluar daripada lori, menyebabkan dua daripada mereka maut di tempat kejadian, manakala pemandu cedera parah.

“Khairul Syahmi telah dihantar ke Hospital Dungun (HD) untuk menerima rawatan lanjut,” ujarnya.

Mayat dua mangsa pula dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HD untuk tujuan bedah siasat.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan.

BACA JUGA:  Tiga pelatih IKBN maut dalam perjalanan pulang bagi menyambut Aidiladha
Jafnieza Jafri
Jafnieza Jafri
jafnieza@portalmyberita.com

TRENDING

Suspek kes kurung, liwat remaja 14 tahun berjaya diberkas

KUALA LUMPUR - Pemburuan selama lima hari terhadap seorang...

Haroqs hanyutkan coklat ke laut demi anak-anak Gaza

KUALA LUMPUR - Pempengaruh media sosial, Muhammad Hareez Adzrami...

Tiada penyingkiran, Pak Azad & Amarra Sofea terselamat minggu kelima TTMM2

SHAH ALAM - Pasangan Pak Azad dan Amarra Sofea...

‘Travel around the world’ warnai Hari Guru Sekolah Sultan Alam Shah 2026

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Sultan Alam...

Aidiladha di Malaysia disambut 27 Mei ini

KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia akan...