KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan tiada individu akan dilindungi atau terlepas daripada tindakan undang-undang dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan pihak polis dan menasihati masyarakat agar tidak membuat spekulasi.
“Saya mengikuti rapat kes kemalangan melibatkan anakanda Zara Qairina. Kes ini dalam siasatan polis dan Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memberi kerjasama penuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Zara Qairina meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di Sabah pada 17 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).
Fadhlina berkata, JPN Sabah komited memastikan kebajikan keluarga, murid, guru dan warga sekolah terlibat terus terpelihara menerusi bantuan segera termasuk sokongan psikososial dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).
“Salam takziah kepada seluruh keluarga. Semoga diberi ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya.

