Bas Smart Selangor terbalik, ibu dan anak cedera

RAWANG – Seorang wanita dan anak perempuannya cedera ringan selepas bas Smart Selangor yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Jalan Tulip 3, Bukit Sentosa, di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 11.16 pagi.

Menurut beliau, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan melibatkan sebuah bas Smart Selangor yang dipercayai terbabas sendiri di selekoh sebelum terbalik.

“Dua mangsa, iaitu seorang wanita berusia 38 tahun dan anak perempuannya berusia sembilan tahun mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua mangsa telah dibawa oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi menerima rawatan lanjut.

Tambah Ahmad Mukhlis, pemandu bas berusia 57 tahun serta seorang lagi penumpang lelaki berumur 17 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Punca kejadian masih dalam siasatan.

BACA JUGA:  Dukes tak kejar populariti, hanya mahu muzik mereka dihargai
Raihan Hazizi
Raihan Hazizi
raihanhazizi@portalmyberita.com