Jumaat, 12 Jun 2026

Ziyad Imran tak kesah dikecam, mahu terus melangkah bersama Dukes

KUALA LUMPUR – Vokalis utama kumpulan The Dukes, Ziyad Imran, mendedahkan permulaan karier muzik mereka yang bermula secara santai namun kini berjaya menembusi pentas arus perdana.

Menurut Ziyad, 23, penubuhan The Dukes tercetus hasil inisiatif rakan sekolah rendahnya, Ryan, yang mengajaknya untuk jamming selepas melihat video nyanyiannya di Instagram. Mereka kemudiannya menambah seorang pemain dram dari Dengkil dan mula bermain muzik bersama.

Bagaimanapun, aktiviti mereka terhenti seketika susulan pandemik COVID-19, sebelum kembali aktif apabila Ryan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan bertemu ahli Baharu Umar dan Jimbo. Ziyad yang terinspirasi dengan semangat mereka kembali menyertai kumpulan itu, dan peluang persembahan mula hadir satu demi satu.

“Kekuatan band bukan semata-mata pada bakat, tapi pada hubungan sesama ahli,” kata Ziyad, menekankan nilai persahabatan yang menjadi asas kejayaan mereka.

The Dukes turut menyertai program televisyen Tonton Soundstage X Muzik-Muzik, namun persembahan mereka menerima pelbagai kecaman daripada penonton. Ziyad mengakui tidak berpuas hati dengan mutu persembahan tersebut dan menyifatkannya berpunca daripada faktor teknikal dan tekanan produksi.

“Penonton hanya nampak persembahan akhir, tapi tak tahu kami rakam hingga 3 pagi, tanpa tidur, dan berdepan isu bunyi,” jelasnya ketika ditemui MYBERITA baru-baru ini.

Kumpulan ini kini beroperasi di bawah label pengurusan, namun sebahagian besar jemputan persembahan diuruskan terus melalui Instagram mereka. Barisan asal juga telah berubah apabila pemain dram terdahulu memilih untuk berundur atas komitmen lain, dan digantikan dengan Cheng.

Ziyad turut berkongsi bahawa keluarganya sangat menyokong penglibatannya dalam muzik, meskipun sebahagian ahli lain menghadapi sedikit tentangan pada awalnya.

Ziyad Imran, yang kini menuntut dalam bidang Psikologi di HELP University, menjadikan The Beatles, Pink Floyd, M. Nasir dan P. Ramlee sebagai sumber inspirasi dalam usaha membina identiti muziknya yang tersendiri.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com