Menerusi persembahan ini, DUKES akan membawakan keseluruhan lagu ciptaan asal mereka yang telah dilancarkan setakat ini, selain memperkenalkan sebuah lagu baharu yang bakal dimuatkan dalam album akan datang. Pendekatan ini bukan sahaja memberi nilai eksklusif kepada penonton, malah memperlihatkan arah muzik dan naratif yang bakal diterokai band tersebut pada masa hadapan.
Sambutan luar biasa peminat terhadap DUKES QUEST turut terserlah apabila tiket persembahan ini habis terjual dalam tempoh hanya dua minggu, sekali gus mencerminkan sokongan padu serta kepercayaan peminat terhadap visi artistik DUKES.
Selari dengan konsep penceritaan dan lakonan yang diketengahkan, pementasan ini mengangkat tema zaman pertengahan bagi menghidupkan suasana pentas, sekali gus membolehkan penonton menyelami pengalaman menonton yang lebih mendalam, dramatik dan interaktif.
Lebih istimewa, persembahan akan dimulakan dengan pembuka tirai oleh Laisa daripada Fuad Duo sebelum DUKES mengambil alih pentas utama dan membawa penonton menyusuri sepenuhnya perjalanan muzik serta naratif yang dibina khas untuk malam bersejarah itu.
Persembahan ini juga mencatat satu lagi pencapaian penting buat DUKES apabila mereka bakal memperkenalkan barangan cenderamata rasmi pertama, yang hanya akan dijual secara eksklusif pada malam persembahan, sekali gus menjadikan pengalaman DUKES QUEST lebih istimewa dan bermakna buat para peminat. – MYBERITA








