KUALA LUMPUR – Pelakon Sara Mack Lubis mendedahkan bahawa babak memandu van jenazah dalam filem Angkat sebenarnya bukan dilakonkan olehnya, sebaliknya, dia hanya berada di atas sebuah trak ketika babak itu dirakam untuk memberi ilusi seolah-olah dia memandu van tersebut.
Sara atau nama sebenarnya Sara Hamidah Mazlen, 29, berkata dia tidak boleh memandu kenderaan transmisi manual dan hanya memiliki lesen memandu kereta automatik.
“Sebenarnya saya tak bawa van tu pun. Kami cuma duduk atas trak. Van tu manual dan saya hanya ada lesen kereta auto,” katanya kepada MYBERITA ketika ditemui pada sidang media tayangan gala filem Angkat di TGV KLCC, pada Rabu.

Menurut Sara, pihak produksi pada awalnya cuba untuk mencari van jenazah jenis automatik, namun akhirnya terpaksa menggunakan teknik penggambaran kreatif bagi menjayakan babak tersebut.
“Akhirnya kami terpaksa lakonkan seolah-olah saya yang memandu. Tapi tak nampak pun kan? Nampak macam saya mencuba,” katanya.
Sara mengakui dia agak selektif dalam menerima tawaran berlakon kerana masih bekerja sepenuh masa dan perlu mengambil cuti tahunan untuk sebarang projek seni.
Katanya lagi, tawaran untuk filem Angkat diterima kerana percaya dengan kredibiliti produksi serta peluang bekerjasama dengan pelakon yang juga rakan rapat seperti Sky Iskandar, Firdaus Karim dan Syazani Zikry.
“Saya masih bekerja. Jadi bila nak berlakon, saya kena ambil cuti tahunan. Sebab itu saya sangat pilih skrip dan projek,” katanya.
Dalam Angkat, Sara memegang watak sebagai Mia, seorang gadis awal 20-an yang masih mencari identiti diri.
“Dia cuba jadi orang lain, tapi bila dengan adik-beradik, dia jadi diri sendiri. Dia bukan ekstrovert, tapi dia cuba nampak begitu,” jelasnya.
Sara turut berkongsi pengalaman seram semasa penggambaran babak akhir filem tersebut apabila berlaku perubahan angin secara tiba-tiba yang dirasai semua kru dan pelakon.
“Semua orang pandang satu sama lain je. Faham-faham sendirilah,” katanya.
Mengulas mengenai satu babak yang melibatkan tiga pelakon lelaki membuka baju, Sara menjelaskan dia tidak rasa kekok kerana kesemua pelakon itu adalah rakannya.
“Saya okey je. Mereka semua nak buat kerja. Saya pun tak sentuh sesiapa, jadi tak ada masalah,” ujarnya ringkas.
“Saya ni low profile. Tapi saya tahu ada yang selalu ikuti dan sokong projek-projek saya. Saya hargai mereka sangat,” katanya.
Sara mengakui dia masih ‘low profile’ dalam industri dan tidak memiliki kelab peminat, namun menghargai sokongan yang diterima.
Sara menyeru penonton untuk menonton filem Angkat kerana jalan ceritanya yang menyentuh emosi dan memberi mesej penting tentang hubungan kekeluargaan.
“Cerita ni lain daripada yang lain. Visual dia cantik. Paling penting, ia ajar kita supaya jangan simpan masalah antara adik-beradik. Kalau simpan, lama-lama boleh meletup jadi benci,” katanya.
Filem berdurasi 90 minit ini diarahkan Feisal Azizuddin dan ditulis bersama Wong King Wai serta Ellina Abdul Majid dibintangi Firdaus Karim, Sky Iskandar, Syazani Zikry dan Sara Mack Lubis sendiri.
Menariknya, produksi Feisk Production memperkenalkan strategi berani dengan menawarkan harga tiket serendah RM10 sempena tayangan rasmi bermula 14 Ogos ini.
Penerbit, Iskander Azizuddin berkata mereka sanggup menanggung kos pemotongan harga demi memastikan filem ini dapat ditonton lebih ramai rakyat Malaysia.
“Kami tahu cabaran industri sekarang, jadi kami buat keputusan ini supaya Angkat boleh dinikmati semua,” katanya.
Angkat mengangkat tema kekeluargaan, kematian dan perjalanan pulang yang penuh cabaran dalam gabungan genre drama dan komedi gelap.




