KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menyekat sebanyak 2.1 bilion panggilan meragukan dan berunsur penipuan serta 2.1 bilion SMS tidak diminta sejak tahun 2022 sehingga 1 Ogos lalu, hasil kerjasama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata sepanjang tempoh tersebut, seramai 184,289 talian mudah alih dan talian tetap yang menghantar SMS meragukan turut ditamatkan bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
“Usaha ini dilaksanakan selaras dengan pindaan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Penyebaran kandungan palsu dengan niat melakukan penipuan adalah satu kesalahan yang boleh dihukum denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM5,000 setiap hari kesalahan diteruskan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beufort) yang disiarkan di laman web Parlimen.
Fahmi juga memaklumkan bahawa MCMC bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam bantuan teknikal seperti permohonan penurunan kandungan media sosial, sekatan laman sesawang, pembekalan maklumat profiling dan analisis forensik digital untuk mempercepatkan siasatan berkaitan kes penipuan dalam talian.
“Dari 1 Januari 2024 hingga 1 Ogos lalu, penyedia perkhidmatan media sosial atas permohonan MCMC telah mengambil tindakan menurunkan 112,734 kandungan penipuan dan menyekat tujuh laman sesawang berunsur penipuan. Tindakan ini dibuat berdasarkan aduan yang diterima serta garis panduan komuniti setiap platform, selaras dengan undang-undang tempatan,” ujarnya.
Selain itu, arahan larangan kandungan terlarang dalam SMS, termasuk pautan (hyperlink), permohonan maklumat peribadi dan nombor telefon untuk dihubungi, telah dikuatkuasakan mulai 1 September 2024 bagi membendung jenayah penipuan yang memanfaatkan perkhidmatan SMS.
“Langkah ini bertujuan melindungi pengguna daripada dieksploitasi penjenayah yang menyamar sebagai pelbagai pihak, termasuk entiti awam dan swasta, bagi memperdayakan orang ramai,” tambahnya.
MCMC juga melancarkan Kempen Internet Selamat pada 21 Januari lalu dengan matlamat meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian untuk mengelakkan jenayah siber serta mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
“Kempen ini dilaksanakan di 10,000 sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) melalui pelbagai inisiatif kerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar universiti awam seluruh negara,” katanya.
Dalam usaha mewujudkan ekosistem rangkaian internet yang selamat dan lestari, MCMC telah melaksanakan keperluan pelesenan bagi penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang bermula 1 Januari lalu di bawah Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta 588.
“Penyedia perkhidmatan juga disarankan mengamalkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) bagi Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Media Sosial yang diterbitkan pada 20 Disember 2024 bagi memperkukuhkan sistem dan proses mereka dalam mengurangkan kemudaratan dalam talian,” jelasnya.
Sebagai sebahagian pendekatan menyeluruh kerajaan menentang penipuan dalam talian, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) telah ditubuhkan hasil kerjasama antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Bank Negara Malaysia dan MCMC.
“NSRC yang diterajui PDRM berfungsi sebagai pusat tindakan sehenti dan giat melaksanakan program kesedaran awam serta kempen nasional berkaitan penipuan dan jenayah digital,” katanya.

