KOTA KINABALU – Pasukan peguam mewakili ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir melantik pakar tulisan tangan mereka sendiri bagi memeriksa 21 dokumen yang dipercayai mengandungi tulisan tangan arwah.
Peguam utama, Rizwandean M Borhan, berkata pihaknya sudah memohon kepada Mahkamah Koroner supaya pakar yang dilantik dibenarkan hadir untuk membuat pemeriksaan terhadap dokumen berkenaan.
Menurutnya, langkah itu penting kerana masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan selepas Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia selesai memberi keterangan sebagai saksi kedua dalam prosiding hari ini.
“Hari ini, saksi pakar tulisan tangan dari Jabatan Kimia memberi keterangan mengenai beberapa dokumen termasuk diari, cebisan kertas, cebisan daripada buku serta buku teks sekolah. Jumlahnya ratusan muka surat.
“Namun, perkara penting ialah tiada keputusan muktamad atau pengesahan bahawa tulisan itu milik arwah ataupun individu lain. Ia masih dipanggil ‘spesimen’ sahaja,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding.
Rizwandean menegaskan pihaknya mahu pakar tulisan tangan mereka sendiri membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan proses inkues benar-benar mencapai matlamat mencari kebenaran punca kematian Zara.
“Kami akan membuat temu janji dengan agensi berkaitan untuk tentukan lokasi dan waktu agar pakar dapat memeriksa dokumen ini. Itu lebih baik berbanding terburu-buru membuat kesimpulan,” ujarnya.
Beliau berkata, pasukan guaman akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membawa pakar dari Kuala Lumpur minggu depan, tertakluk kepada kelulusan Jabatan Kimia.
“Pemeriksaan belum dibuat kerana dokumen asal hanya dibuka hari ini di mahkamah. Jadi selepas ini, barulah pakar boleh meneliti dokumen tersebut,” jelasnya.
Terdahulu, Pemeriksa Dokumen dari Jabatan Kimia, Nurul Atiqah Mohd Nor memberi keterangan mengenai 21 dokumen berkenaan, masing-masing 15 helaian kertas, empat buku nota dan dua buku teks sekolah.
Selain Rizwandean, pasukan guaman yang mewakili ibu arwah, Noraidah Lamat, turut disertai peguam Shahlan Jufri, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.

