KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menegaskan bahawa sebarang usaha pembangunan Kampung Baru tidak harus hanya dilihat dari sudut fizikal atau ekonomi, sebaliknya perlu mengekalkan roh dan identiti kawasan itu sebagai simbol kebangkitan orang Melayu sejak lebih seabad lalu.
Baginda bertitah, Kampung Baru bukan sekadar sebuah penempatan tradisi, tetapi merupakan tapak penting yang menyaksikan pelbagai peristiwa besar dalam sejarah politik, sosial dan kebudayaan bangsa Melayu di ibu negara.
“Beta ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kampung Baru memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa setiap keputusan pembangunan harus berpaksikan kepada kepentingan Melayu agar warisan serta sejarah asal penubuhannya tidak terhakis oleh tuntutan moden semata-mata.
Baginda turut mengimbas sejarah penubuhan Kampung Baru sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS) pada tahun 1900 oleh Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, yang menjadi asas kepada kewujudan komuniti Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur sehingga kini.
“Kampung Baru bukan hanya sebuah kawasan penempatan, tetapi menjadi saksi kepada lahirnya UMNO, tragedi 13 Mei 1969, dan nadi sukan Selangor di Padang Kelab Sultan Sulaiman,” titah baginda.
Malah, nostalgia peribadi turut dikongsi baginda apabila pernah bersekolah di Kampung Baru, selain sejarah keluarga diraja Selangor sendiri yang turut berakar umbi di kawasan berkenaan.
Justeru, baginda menegaskan, apa jua bentuk pembangunan perlu mengimbangi tuntutan kemajuan dengan tanggungjawab memelihara identiti dan warisan Melayu yang telah terbina sejak lebih 100 tahun.

