BANGKOK – Semangat juang tinggi dan kebangkitan luar biasa ditampilkan skuad futsal Bawah 19 Tahun (B-19) negara apabila bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk mengikat Myanmar 3-3 dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Futsal B-19 Asia Tenggara di Stadium Nonthaburi, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, pemain negara yang majoritinya pertama kali beraksi di pentas antarabangsa berdepan tekanan hebat apabila sering melakukan kesilapan mudah selain bergelut mengekalkan penguasaan bola, khususnya pada awal permainan.
Namun, kesungguhan anak buah Rakhpol Seinetngam wajar dipuji apabila kekal berdisiplin dan bekerja keras dalam mengekang asakan Myanmar yang tampil lebih yakin serta agresif sepanjang perlawanan.
Myanmar membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Kyaw Min Khant, namun hanya seminit kemudian skuad negara pantas menyamakan kedudukan hasil ledakan Iqbal Hazim Radzi.
Bagaimanapun, Myanmar kembali mendahului perlawanan pada minit ke-10 melalui Hae Mar Htay sebelum Kaung Htet Naing menambah gol ketiga pasukannya pada minit ke-18 untuk membolehkan Myanmar memasuki bilik persalinan dengan kelebihan 3-1.
Di babak kedua, skuad negara masih berdepan kesukaran menembusi pertahanan lawan, terutama dalam situasi satu lawan satu, namun segalanya berubah pada minit ke-30 apabila ketua pasukan, Mohamad Faaris Amsyar Marhaidi merapatkan jurang jaringan.
Momentum itu dimanfaatkan sepenuhnya apabila Muhammad Adam Rayyan Nor Hisam menyempurnakan gol penyamaan tiga minit kemudian, sekali gus menghidupkan kembali peluang skuad negara untuk mengutip mata berharga.
Pemain negara terus mempamerkan keberanian memburu gol kemenangan, namun beberapa peluang terbaik gagal diterjemahkan dengan penyudah yang lebih kemas.
Skuad negara dijadualkan turun beraksi buat kali kedua menentang Indonesia, Khamis ini, dengan kemenangan ke atas skuad muda Garuda bakal mengesahkan kemaraan ke separuh akhir kejohanan.




