SEREMBAN – Sebuah restoran di negeri ini diarahkan tutup selama 14 hari bermula 3 hingga 17 Februari selepas didapati mencuci dan menggunakan semula saki baki makanan untuk dimasak semula keesokan hari.
Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Dr. Zuraida Mohamed berkata, antara lebihan makanan yang digunakan semula termasuk daging ayam, daging kambing dan tauhu daripada masakan yang tidak habis dijual.
Menurutnya, arahan penutupan itu dikeluarkan susulan aduan orang awam yang tular di media sosial, sebelum siasatan segera dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS).
“Susulan pemeriksaan yang dijalankan, JKNNS mengeluarkan arahan penutupan premis di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, selain mengeluarkan notis kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, penutupan premis berkenaan bertujuan memberi ruang kepada pengusaha melaksanakan kerja-kerja pembersihan menyeluruh, melakukan pembetulan terhadap ketidakpatuhan yang dikenal pasti serta membolehkan pemantauan semula dijalankan sebelum restoran itu dibenarkan beroperasi semula.
Dr. Zuraida menegaskan, JKNNS memandang serius sebarang pelanggaran berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan kerana ia boleh mengancam kesihatan pengguna serta berisiko menyebabkan kejadian keracunan makanan.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya terus menyalurkan aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang amalan tidak bersih di premis makanan,” katanya.




