KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Dana Inovasi Media dengan peruntukan RM30 juta tidak akan menjejaskan kebebasan media dalam melaporkan isu semasa, sebaliknya bertujuan memperkukuh daya tahan industri media tempatan dalam mendepani cabaran ekosistem digital yang semakin mencabar.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dana berkenaan diperkenalkan bagi membantu organisasi media tempatan melaksanakan transformasi digital susulan perubahan landskap pengiklanan yang kini lebih tertumpu kepada platform global seperti Google dan Meta, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan media tradisional.
Menurut beliau, hasrat kerajaan melaksanakan dana tersebut bukan untuk memastikan media sentiasa memuji atau memihak kepada kerajaan, sebaliknya bagi memastikan media tempatan kekal relevan dan mampu bersaing secara sihat dalam era digital.
“Dana ini tidak disertakan dengan sebarang syarat yang menjejaskan prinsip kewartawanan, seperti keperluan untuk memuji kerajaan sahaja. Saya mengikuti perkembangan media tempatan dan mereka sangat kritikal terhadap apa sahaja yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Mereka bukan sekadar memuji, malah turut mengkritik apabila perlu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang menyuarakan kebimbangan sama ada penerima Dana Inovasi Media akan terikat dengan syarat tertentu sehingga boleh menjejaskan kebebasan media.
Mengulas mengenai ketelusan agihan dana, Teo berkata satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menilai dan memilih permohonan yang layak. Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan turut dianggotai wakil Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan.
Menurutnya, hari ini merupakan hari pertama sesi pembentangan atau ‘pitching’ oleh pemohon Dana Inovasi Media, dengan 10 organisasi media dijadualkan membuat pembentangan, manakala 29 lagi akan dipanggil dalam sesi seterusnya.
“Jawatankuasa ini akan membuat penilaian dan menentukan sama ada permohonan diluluskan serta jumlah dana yang sesuai untuk diberikan,” katanya.
Teo berkata Dana Inovasi Media menawarkan pembiayaan sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan dan terbuka kepada organisasi media tempatan yang berdaftar secara sah serta memenuhi syarat kelayakan ditetapkan, termasuk berdaftar dengan JAPEN.
Beliau berkata, pemberian dana itu diharap dapat mewujudkan ekosistem media yang lebih sihat dan mampan, selain membantu organisasi media menyesuaikan diri dengan teknologi terkini tanpa menjejaskan kualiti serta integriti laporan berita.

