KUALA LUMPUR – Demi membuktikan kasih sayang dan mempertahankan suami tercinta, penyanyi terkenal, Selena Gomez, sanggup mengucup kaki suaminya, Benny Blanco, ketika lelaki itu sedang merakamkan video bagi program audio siar, Friends Keep Secrets.
Tindakan spontan tersebut dipercayai sebagai bukti bahawa kaki lelaki yang dicintainya itu bersih, sekali gus menepis dakwaan netizen yang sebelum ini melabel Blanco sebagai seorang yang pengotor.
Kontroversi tercetus susulan episod terdahulu podcast berkenaan apabila kaki penerbit muzik itu kelihatan kotor dalam satu rakaman yang kemudiannya tular di media sosial.
Dalam video terbaharu, Gomez, 33, yang duduk di lantai secara tiba-tiba mencium jari kaki Blanco sehingga membuatkan lelaki berusia 38 tahun itu terdiam seketika sebelum bersuara.
“Saya suka (dia cium kaki saya), buat saya rasa gembira. Saya sayang awak sangat,” katanya sambil tersenyum.
Aksi pasangan berkenaan berlaku di hadapan hos program, Lil Dicky dan Kristin Batalucco, yang tampak terkejut namun kekal profesional meneruskan sesi wawancara.
Penyanyi lagu Lose You To Love Me itu kemudian mendekatkan pipinya pada kaki suami sambil menyifatkan hubungan mereka sebagai perkara terhebat dalam hidupnya.
Sebelum ini, Blanco menjadi bahan kecaman netizen selepas episod pertama podcast tersebut memaparkan keadaan kakinya yang didakwa kurang bersih. Gomez turut terkena tempias apabila segelintir peminat secara berseloroh meminta mereka berpisah gara-gara isu kebersihan itu.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga di Santa Barbara, California, Amerika Syarikat pada 27 September tahun lalu.
Blanco dan Gomez sebenarnya sudah saling mengenali sejak 2015 apabila bekerjasama dalam beberapa projek muzik termasuk single Gomez berjudul Same Old Love dan Kill Em with Kindness.
Bagaimanapun, hubungan cinta mereka hanya bermula pada 2023 sebelum mengumumkan pertunangan pada Disember 2024, sekali gus mengakhiri spekulasi yang bertebaran dalam kalangan peminat. – MYBERITA

