KUALA LUMPUR – Penyanyi, Nadia Amira Othman atau Amira Othman, 33, mendedahkan dirinya pernah dihina dengan pelbagai kata kesat ketika melakukan siaran langsung di media sosial.
Amira meluahkan rasa kesal terhadap budaya buli siber yang semakin melampau dan menegaskan perkara itu tidak wajar dinormalisasikan walaupun terhadap golongan selebriti.
Menurutnya, dia jarang mengikuti perbincangan di platform Threads kerana suasananya yang toksik, namun masih terdapat peminat yang menghantar semula komen negatif kepadanya.
“Memang saya tidak ambil tahu sangat apa yang berlaku di Threads kerana ia sangat toksik. Namun, ada juga peminat yang menghantar semula komen tersebut kepada saya.
“Biasalah, adat menjadi anak seni, ada yang suka dan ada juga yang tidak. Jika seseorang itu tidak menyukai kita, apa sahaja yang kita lakukan tetap tidak akan disenangi,” katanya.
Tambah Amira, dia memilih untuk tidak memberi perhatian kepada komen negatif kerana perkara itu hanya menjejaskan emosi dan memenatkan fikiran.
“Ini bukan kali pertama mereka menyerang saya ketika membuat siaran langsung. Pelbagai kata kesat digunakan seperti ‘sundal’, ‘bodoh’ dan macam-macam lagi. Saya sendiri tidak sanggup menyebut semuanya, apatah lagi ketika bulan puasa.
Saya tidak pernah memberi respons, tetapi jika terlihat komen seperti itu, saya akan terus menyekat akaun tersebut,” katanya.
Amira menegaskan, walaupun seseorang itu menggunakan akaun palsu, buli siber tetap tidak wajar dan undang-undang berkaitan isu ini ada untuk melindungi mangsa.
Dia menekankan bahawa teguran boleh diterima, tetapi harus menggunakan bahasa yang baik, selain undang-undang sedia ada melindungi mangsa buli siber. -MYBERITA

