KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming berkongsi hasil undian di media sosial yang menunjukkan kebanyakan perantau memilih untuk pulang ke kampung pada hari Khamis sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Undian yang melibatkan kira-kira 300,000 pengguna Instagram dan Threads itu menunjukkan Khamis menjadi pilihan utama responden untuk memulakan perjalanan pulang ke kampung.
Di Instagram, sebanyak 65,165 undian atau 36 peratus responden memilih hari Khamis, manakala di Threads pula sebanyak 34 peratus responden turut membuat pilihan sama.
Hari Rabu pula menjadi pilihan kedua dengan 49,325 undian atau 27 peratus di Instagram, manakala 26 peratus pengguna Threads turut memilih hari berkenaan.
Sementara itu, sebanyak 42,024 undian atau 23 peratus responden di Instagram memilih untuk pulang pada Jumaat, manakala 24 peratus pengguna Threads turut memilih hari sama.
Seramai 26,306 responden atau 14 peratus di Instagram pula memilih untuk pulang lebih awal iaitu esok, manakala di Threads sebanyak 16 peratus responden membuat pilihan sama.
Khairul Aming berkata, keputusan undian itu menunjukkan kebanyakan responden merancang untuk pulang ke kampung pada Khamis, namun terdapat juga jumlah yang agak ramai memilih Jumaat.
“Berdasarkan undian daripada 300,000 responden di Instagram dan Threads, kebanyakan mereka memilih untuk balik kampung pada hari Khamis. Tapi boleh tahan juga ramai nak balik Jumaat. Adakah Jumaat itu jatuh raya pertama? Sama-sama kita nantikan,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata jumlah kenderaan di lebuh raya dijangka meningkat dengan ketara mulai esok apabila perantau mula pulang ke kampung sempena Aidilfitri.
Menurutnya, PLUS Malaysia Berhad menjangkakan sehingga dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya pada hari-hari puncak bermula 20 Mac ini. -MYBERITA

