KUALA LUMPUR – Perlawanan aksi persahabatan melibatkan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC telah diawalkan ke 9 Ogos 2026 selepas mendapat persetujuan kedua-dua pihak.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh TEG Sport hari ini, perlawanan yang pada asalnya dijadual berlangsung pada 11 Ogos (Selasa) telah dijadualkan semula ke 9 Ogos (Ahad) di Stadium Sultan Ibrahim, pada jam 8 malam.
Menurut TEG Sport, semua tiket yang telah dibeli oleh peminat kedua-dua pasukan kekal sah untuk tarikh baharu perlawanan tersebut tanpa sebarang pertukaran atau pengemaskinian diperlukan.
“Chelsea FC dan JDT menyambut baik perubahan jadual tersebut kerana ia memberi lebih masa kepada kedua-dua pasukan untuk membuat persiapan menjelang musim baharu,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan sama, pemegang tiket sedia ada tidak perlu melakukan sebarang tindakan kerana tiket yang dibeli kekal sah.
“Bagi penyokong yang tidak dapat hadir pada tarikh baharu tersebut, bayaran balik penuh 100 peratus disediakan, merangkumi harga asal tiket serta yuran kemudahan sebanyak 3 peratus. Permohonan bayaran balik boleh dibuat dengan menghantar emel kepada sales@tickethotline.com.my berserta maklumat tempahan sebelum 30 Jun 2026,” jelas kenyataan berkenaan.
Pada bulan lalu, Chelsea yang bakal memulakan era baharu di bawah pengurus terkenal Sepanyol, Xabi Alonso memilih Johor sebagai destinasi terakhir jelajah pramusim menjelang kempen musim 2026/27.

