Ahad, 14 Jun 2026

Lelaki patah kaki lepas dihentam impak ‘baldi gergasi dunia’ taman tema air terkenal

KUALA LUMPUR – Seorang pengguna Threads dikenali sebagai @urm0th3rrr mendakwa bapa saudaranya mengalami kecederaan serius sehingga memerlukan pembedahan selepas terlibat dalam satu insiden di sebuah taman tema air popular di Pulau Pinang pada 28 Mei lalu.

Menerusi hantaran yang tular di platform media sosial itu, pengguna berkenaan mendakwa lawatan keluarganya yang pada mulanya merupakan percutian biasa bertukar menjadi pengalaman mencemaskan apabila mangsa cedera selepas terkena impak air daripada sebuah tarikan baldi gergasi.

“28 May 2026 at a water theme park in Penang started as a normal family trip and ended with a serious leg injury, hospital emergency, and surgery,” tulisnya.

Menurut beliau, keluarganya pada awalnya menyangka mangsa hanya mengalami kecederaan terkehel. Namun, keadaan sebenar didakwa jauh lebih serius apabila mangsa menjerit kesakitan dan menunjukkan kecederaan ketara pada bahagian kaki.

“At first, we thought it was a dislocation. But he was screaming in pain and his leg was visibly deformed,” katanya.

Pengguna itu turut mendakwa tiada taklimat keselamatan yang mencukupi diberikan kepada pengunjung mengenai kekuatan impak air atau risiko yang mungkin dihadapi sebelum menyertai tarikan berkenaan.

“Before entering the ride, there was no proper safety briefing from the PIC about the force of the water or how dangerous the impact could be. The only instructions given were basic seating and where kids shouldn’t sit,” dakwanya.

Beliau turut mendakwa seorang kanak-kanak lain mengalami kecederaan ringan pada lutut di lokasi yang sama.

Menurut hantaran tersebut, mangsa kemudiannya dibawa ke pusat pertolongan cemas sebelum keluarga meminta ambulans dipanggil berikutan tahap kesakitan yang dialami.

Bagaimanapun, beliau mendakwa permintaan itu tidak dapat dipenuhi dan pihak terbabit memaklumkan mereka perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.

“We repeatedly asked for an ambulance because the pain was severe and the injury clearly serious. We were told no ambulance could be called and they had to follow procedure,” katanya.

Selain itu, beliau turut mendakwa tiada pengusung (stretcher), kerusi roda atau peralatan imobilisasi yang sesuai disediakan kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan syarikat.

Hasil pemeriksaan di hospital mendapati mangsa mengalami patah kaki yang serius dan bukannya kecederaan terkehel seperti yang disangka pada awalnya.

“At the hospital, doctors confirmed it was a severe fractured leg, not a simple dislocation,” katanya lagi.

Beliau mendakwa doktor terpaksa mengeluarkan kira-kira 70 mililiter darah daripada kawasan kecederaan akibat pembengkakan yang teruk sebelum mangsa dipindahkan ke Kuala Lumpur menggunakan ambulans pada keesokan harinya untuk menjalani pembedahan.

Dalam hantaran sama, pengguna itu turut mempersoalkan aspek keselamatan tarikan berkenaan selepas mendakwa menemui beberapa laporan lain mengenai kecederaan yang pernah berlaku di lokasi sama.

“Seriously disappointed sebab no proper briefing was given and no proper actions were taken by their staff. This could have easily happened to a child,” tulisnya.

Setakat ini, pihak pengurusan taman tema air berkenaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang tular di media sosial tersebut.

Insiden yang berlaku itu didakwa melibatkan tarikan World’s Largest Tipping Bucket yang sebelum ini mendapat pengiktirafan Guinness World Records sebagai baldi tumpah terbesar di dunia. Menurut laporan media, tarikan berkenaan mampu menampung sehingga 28,757 liter air dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk dipenuhi sebelum menumpahkan air dalam kuantiti besar ke kawasan permainan di bawah.

Selain itu, taman tema berkenaan turut memegang rekod World’s Longest Tubby Racer, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara taman tema bertaraf dunia.

Adam Hafiz
Adam Hafiz
adamhafiz@portalmyberita.com