SHAH ALAM – Perjalanan pasangan Viviana dan Ani Mayuni dalam program realiti hiburan Talk To My Manager 2 (TTMM2) berakhir pada minggu suku akhir yang berlangsung dengan tema “Malam Ini Ku Ingin Jatuh Cinta” selepas diumumkan sebagai pasangan yang tersingkir pada penghujung saingan malam ini.
Turut berada dalam kelompok tiga terbawah ialah pasangan Kim Khairi bersama pengurusnya, Safura, serta Cik B dan Dato Seri Vida.
Viviana yang mempersembahkan lagu Jai Ho! nyanyian asal A.R. Rahman dan The Pussycat Dolls gagal memperoleh markah terbaik daripada barisan juri untuk meneruskan cabaran ke peringkat seterusnya.
Sementara itu, Anugerah Manager Paling Perform minggu ini sekali lagi menjadi milik Jamilulhayat, pengurus kepada Hussain, hasil komitmen dan persembahan cemerlang yang ditampilkan sepanjang pertandingan.
Dalam perkembangan sama, Azeva bersama pengurusnya, Dato A. Aida, berjaya meraih Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie dan melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta hamper tajaan.
Bagaimanapun, Dato A. Aida mengambil keputusan untuk berkongsi hadiah wang tunai tersebut secara sama rata dengan Safura dan Jamilulhayat sebagai tanda penghargaan terhadap usaha serta semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua pengurus berkenaan.
Minggu kesembilan yang juga merupakan peringkat separuh akhir bakal diteruskan dengan tema “Bagai Serai Kita Serumpun”, menyaksikan enam peserta yang masih kekal dalam saingan akan mempersembahkan lagu-lagu tradisional bagi merebut tempat ke pentas akhir.
Program TTMM2 dihoskan oleh Datuk Aznil Haji Nawawi, manakala barisan juri tetap terdiri daripada Che Puan Sarimah Ibrahim dan Dato’ AC Mizal. Kerusi juri jemputan minggu ini pula diisi oleh Hael Husaini dan Bella Astillah.
