KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan pendiriannya untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sambil menolak dakwaan bahawa usaha mempertahankan mandat di negeri tertentu merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap Kerajaan Persekutuan.
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung hari ini.
Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas PRU15 berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 ketika itu.
“UMNO akan terus mendokong Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbentuk selepas PRU15 sehingga pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembentukan Kerajaan Negeri Johor berlaku sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan tidak melibatkan parti-parti daripada Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mengikat mana-mana kerajaan negeri, sekali gus memberi ruang kepada parti untuk menentukan hala tuju politik di peringkat negeri.
“MKT berpandangan keputusan UMNO dan Barisan Nasional untuk mempertahankan mandat negeri bukan satu pengkhianatan kepada Kerajaan Persekutuan seperti didakwa segelintir pihak.
“Sebaliknya, ia merupakan amalan demokrasi yang sah, matang dan berperlembagaan dengan menyerahkan sepenuhnya mandat kepada rakyat,” katanya.
Asyraf berkata, UMNO berhak menentukan pendirian dan strategi parti menjelang mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang tarikhnya akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam perkembangan sama, beliau berkata UMNO tetap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak bagi menjamin kestabilan politik negara dan kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, sebarang bentuk kerjasama politik perlu berlandaskan prinsip keikhlasan serta kepercayaan antara semua pihak yang terlibat.

