KUANTAN – Perselisihan faham antara sepasang kekasih berusia 19 tahun berakhir dengan kematian seorang pelajar wanita di sebuah rumah di Jalan Air Putih 2, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, polis menerima panggilan daripada teman lelaki mangsa pada kira-kira pukul 4.32 pagi yang memaklumkan berlaku pergaduhan antara mereka di rumah berkenaan.
Susulan maklumat itu, sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik sewa di aras bawah rumah berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring di atas katil,” katanya di sini, hari ini.
Ashari berkata, pemeriksaan pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan kemudian menemukan kesan tekanan pada bahagian leher mangsa.
Menurutnya, polis menahan suspek yang juga berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan mangsa.
Polis kini meneruskan siasatan bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO!
